Penyanyi era 70-an dan 80-an, Halil Chik, 70, dimasukkan ke Hospital Ampang selepas diserang strok di kediamannya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur pada 9 malam Rabu.

Rakannya, Datuk Tommie Tumiran berkata, dia dihubungi anak penyanyi yang popular dengan lagu Lenggang Mak Limah itu yang memaklumkan Halil terjatuh dari katil sebelum bergegas ke rumahnya untuk memberi bantuan.

“Anaknya memberitahu Halil tak boleh bangun langsung. Nak dipapah pun tak boleh. Apabila sampai dan melihatkan keadaannya, saya terpaksa panggil seorang rakan yang berbadan sasa untuk mendukungnya masuk ke dalam kereta saya.

“Proses ini agak susah kerana dia tinggal di kondominium. Dari situ saya terus ke unit kecemasan Hospital Ampang untuk pemeriksaan segera. Doktor ambil darah dan buat scan (imnbas) di bahagian otaknya kerana bimbang berlaku pendarahan,” katanya seperi dilaporkan portal berita Harian Metro.

Menurut Tommie, doktor mengesahkan tekanan darah Halil tinggi melebihi bacaan 200 serta diserang angin ahmar dan ditempatkan di wad untuk jagaan rapi.

Menurut Tommie, doktor mengesahkan tekanan darah Halil tinggi melebihi bacaan 200 serta diserang angin ahmar dan ditempatkan di wad untuk jagaan rapi.

“Bagaimanapun, dia kemudian dipindahkan ke wad biasa kerana keadaannya stabil. Rakan-rakan boleh melawatnya tapi dengan syarat hanya seorang pelawat dibenarkan masuk pada satu-satu masa,” katanya.

Tommie berkata, keadaan kesihatan Halil sebelum ini memang kurang baik.

“Setiap kali berjumpa, saya bimbang melihat keadaannya yang kurang bermaya untuk bercakap, tak berdaya untuk berjalan dan ada sindrom nyanyuk,” katanya yang mendoakan supaya rakannya itu segera sembuh.