BEKAS anggota kumpulan Elite, Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 40, yang sedang hamil lima bulan mengalami keguguran.

Berita sedih itu disampaikan kepada peminat dan pengikut Abby menerusi laman Instagram miliknya, @abby_abadi112.

Abby memuat naik gambar kaki seorang bayi dengan kapsyen “Tiada rezeki #AllahTahuYangTerbaik” sebagai perlambangan dia mengalami keguguran.

Selain itu, Abby turut berkongsi rasa sedih dengan memuat naik tiga keping foto lain yang memaparkan wajah suami, anak-anak serta ibu bapanya.

Abby mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faizal Zakaria, 43, pada 14 Ogos 2015. Perkahwinan bersama Faizal merupakan perkahwinan ketiga Abby.

Sebelum ini, Abby pernah berkahwin dengan pasangannya dalam drama bersiri Gerak Khas, Norman Hakim pada tahun 2002 dan bercerai pada tahun 2008.

Hasil perkahwinan, Abby dan Norman dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 12, Marissa Dania Hakim, 10 dan Maria Danisha Hakim, 7.

Perkahwinan kedua Abby menyaksikan dirinya berjodoh dengan Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 25, pada 9 Julai 2013 dan berpisah sebelas bulan kemudian.

Teks oleh: Kamaruddin Razal

Tiada Rezeki #ALLAHTahuYangTerbaik