PELAKON kanak-kanak, Mia Sara mengalirkan air mata ketika berkongsi kisah mengenai jualan tudungnya sewaktu mula berjinak dalam bidang perniagaan.

“Saya tak dapat lupakan susah payah kami mula-mula meniaga dulu, kalau tak silap pada Januari 2015.

“Waktu tu saya belum lagi bertudung dan yang membuatkan saya sebak ialah ketika mengenangkan zaman kami meniaga di Kampung Batu dulu.

“Waktu tu kami hanya meniaga di bawah khemah saja, gigih nak tunggu pelanggan datang, tapi yang tinggal hanyalah harapan kerana tudung yang dijual tidak mendapat sambutan.

“Secara jujur pada ketika itu memang ada rasa nak putus asa, ialah bayangkan berhari-hari meniaga tapi tudung tak laku.

“Namun berkat usaha dan kesabaran kami, akhirnya Mia Sara Couture berjaya diperkenalkan,” katanya pada majlis pelancaran jenama MS Couture bertempat di Hotel Royal baru-baru ini.

Dalam pada itu, bercakap mengenai produknya, Mia memberitahu tudung MS Couture mempunyai keistimewaan yang tersendiri berbanding tudung-tudung yang lain.

“Tudung MS Couture ini direka khas untuk kanak-kanak kecil di mana terdapat butang dibahagian tepi tudung untuk memudahkan mereka memakainya tanpa perlu mengenakan pin.

“Saya mendapat idea untuk mencipta rekaan sebegitu setelah melihat komen-komen pelanggan yang meluahkan rasa risau melihat anak-anak kecil memakai tudung dengan pin kerana ia agak bahaya dan mudah tercucuk.

“Selain itu, MS Couture juga ada mengeluarkan tiga jenis tudung eksklusif untuk ibu dan anak dengan kain yang berkualiti tinggi. Tidak panas, lembut dan selesa untuk dipakai,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Mia baru sahaja selesai menjalani pengambaran drama Strawberry & Karipap.