SELEBRITI terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor mendedahkan, dia dibuli hampir setiap hari di laman sosial dan perkara itu turut berlaku ahli keluarganya.

Atas sebab itu memberi idea kepadanya untuk mewujudkan sebuah kempen tanggungjawab sosial bagi menangani serta memerangi gejala buli siber dan penyebaran berita palsu di media sosial.

Tambah Neelofa, idea ini tercetus setelah dia sendiri melalui pengalaman dibuli hampir setiap hari di media sosial.

"Semua ini bermula dengan perbualan antara keluarga dan rakan-rakan selebriti yang sering menjadi mangsa buli siber.

"Malah selama lapan tahun berkecimpung di dalam industri seni, boleh dikatakan setiap hari saya dibuli dengan menerima komen-komen negatif.

"Sedangkan bagi saya, sepatutnya media sosial menjadi platform untuk melontarkan pelbagai pandangan yang membina.

"Walaupun sebagai selebriti saya sudah biasa dengan situasi tersebut, namun saya kasihankan ahli keluarga yang turut menjadi mangsa.

"Ini baru hal melibatkan saya, rakan selebriti dan keluarga terdekat. Bagaimana jika perkara ini berlaku kepada anda atau orang biasa?" ujarnya.

Mengangkat tema 'Sebar Fakta Bukan Dusta' dan 'Aku Bersamamu', kempen ini turut mendapat sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kempen ‘Akhiri Buli Siber dan Penyebaran Maklumat Palsu’ itu dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Antara artis yang turut hadir bagi menyokong kempen itu termasuk Nora Danish, Scha Al-Yahya, Awal Ashaari, Maya Karin, Joe Flizzow, Kavita Sidhu, Caprice, Adibah Nor, Atilia Haron, Afdlin Shauki, Shahrol Shiro, Jane Toh dan ramai lagi selebriti lain.

Menurut bintang berusia 29 tahun ini, tujuan utama kempen ini diwujudkan adalah untuk mendidik masyarakat tentang hak-hak melindungi diri daripada buli siber dan penyebaran maklumat palsu.

Selain daripada itu, ia juga bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya penyebaran berita palsu dan fitnah yang dilihat semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

"Sesetengah orang merasakan menjadi tanggungjawab mereka untuk ‘menasihati’ orang lain di media sosial tetapi cara digunakan adalah salah.

"Tanpa disedari mereka sebenarnya telah melukai hati dan membuli orang lain dengan kata-kata digunakan.

"Perkara ini yang ingin kami ubah agar masyarakat lebih peka tentang bahayanya buli di media sosial,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Kuala Lumpur Performing Arts Centre, semalam.