Penerbit dan pengarah filem Lemak Kampung Santan, Hans Isaac meluahkan rasa kecewa apabila filemnya gagal meraih kutipan yang memberangsangkan pada minggu pertama tayangan filem tersebut di pawagam.

Kenyataan yang dibuat menerusi akaun Twitter miliknya, @hansisaacactor antara lain menyebut usahanya selama dua tahun menghasilkan filem tersebut tidak mendapat sokongan yang penuh dari pelbagai pihak termasuk pihak pemamer dan penonton.


Sehingga Ahad lalu, filem tersebut hanya berjaya mengumpul kutipan kurang RM100,000 di pawagam.

Lemak Kampung Santan merupakan salah sebuah filem yang ditayangkan sempena Hari Raya Aidilfitri. Turut ditayangkan adalah filem Adnan Sempit 3.

Kedua-dua filem tempatan itu juga perlu bersaing dengan filem antarabangsa seperti Percy Jackson dan The Smurfs 2.

Pemenang trofi Pengarah Harapan dan Lakon Layar Terbaik FFM21 menerusi filem Cuci itu berkata industri filem tempatan sukar untuk maju tanpa mendapat sokongan.

“Filem Lemak Kampung Santan dihasilkan dengan kos sebanyak RM1.8 juta. Tall Order Productions mengeluarkan sejumlah wang yang besar demi untuk memajukan industri agar di masa akan datang, syarikat saya berpeluang untuk menghasilkan filem yang lebih berkualiti untuk di bawa ke peringkat antarabangsa.”

“Tanpa sokongan dalam berkarya terutamanya dari pihak yang lebih berkuasa menyebabkan saya putus harapan terhadap industri ini.”


Memutuskan untuk tidak lagi menghasilkan filem, pengarah itu mengambil keputusan untuk memfokuskan kreativitinya kepada dunia pentas teater.

Terbaru, Hans bakal menerbitkan sebuah teater muzikal dari kisah legenda bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari yang berjudul SuperMokh The Musical.

Teater tersebut bakal dipentaskan di Istana Budaya pada November depan.

Selain SuperMokh The Musical, Hans turut dalam perancangan untuk menerbitkan Lawak Ke Der 3 di pentas yang sama Oktober depan.


Jelas Hans lagi, kawalannya terhadap bidang teater lebih berkesan berbanding industri perfileman.

“Di pentas teater, saya mempunyai hak seratus peratus terhadap karya saya. Saya bebas berkarya tanpa perlu memikirkan Lembaga Penapisan Filem. Saya boleh mengawal lokasi pementasan tanpa perlu berurusan dengan pihak pemamer pawagam yang mempunyai hak untuk menarik tayangan dan mempunyai kuasa untuk memasarkan teater saya berbanding pasaran filem yang tidak menentu di kalangan penonton filem sekarang.”

Tambahnya lagi, sistem sokongan yang ada pada industri perfileman tidak begitu berkesan dalam membantu pembikin filem dan pelaksanaanya masih diragui.

“Sistem Syarat Wajib Tayang yang sepatutnya dapat membantu pembikin filem tempatan, tidak mendapat sokongan daripada pihak pemamer. Mereka telah mengurangkan jumlah tayangan walaupun filem tersebut baru ditayangkan selama empat hari. Mereka sepatutnya menunggu sehingga tempoh dua minggu." jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Penonton filem Lemak Kampung Santan hanya mempunyai masa sehingga hari Rabu depan untuk menontonnya di pawagam seluruh Malaysia sebelum ia berkemungkinan ditarik dari pawagam.


Terdahulu, Hans membuat keputusan mengejut apabila enggan membenarkan filem terakhirnya itu ditayangkan di Astro First.

Filem Lemak Kampung Santan dibintangi oleh Hans Isaac, Neelofa, Awie, Khir Rahman, Natasha Hudson, Harun Salim Bachik, Afdlin Shauki, Adlin Aman Ramlie dan ramai lagi.

Lemak Kampung Santan mengisahkan seorang lelaki bandar bernama Ridzuan (Hans Isaac) yang telah jatuh cinta dengan seorang gadis kampung bernama Tiqa (Neelofa). Namun percintaan mereka tidaklah semudah yang disangkakan. Ridzuan merupakan seorang arkitek di sebuah syarikat pembinaan yang tersohor manakala Tiqa seorang penjual nasi lemak di Kampung Santan.

Mereka bertemu kali pertama di Kampung Santan dan kedua-duanya cepat mesra antara satu sama lain. Tanpa pengetahuan Tiqa, Ridzuan merupakan ketua untuk mengendalikan projek pembinaan resort di Kampung Santan dan ini bermakna penduduk di situ terpaksa berpindah. Ridzuan telah cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan perkara itu daripada Tiqa namun tanpa pengetahuan Ridzuan, Tiqa juga turut menyimpan satu rahsia daripadanya.