FILEM Hantu Kak Limah (HKL) telah memecah rekod dengan mendapat kutipan RM13.6 juta dalam hanya seminggu.

Rekod itu sekaligus menjadikan filem HKL sebagai filem pecah panggung nombor 1 dengan kutipan tertinggi bagi filem tempatan untuk tahun 2018 setakat ini.

Penerbit Eksekutif, Datuk Khairul Anwar Salleh bersyukur dia atas sokongan ramai terhadap filem terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold itu.

“Saya rasa bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada penonton, rakan media dan pihak pawagam di atas sokongan padu yang diberikan kepada filem genre komedi seram ini.

“Diharap sokongan ini berterusan agar filem HKL bertahan untuk minggu yang akan datang,” katanya kepada Gempak.

Terdahulu HKL mencipta sejarah apabila menerima kutipan tertinggi iaitu lebih RM650,000 di hari pembukaan ‘sneak preview’ pada 8 Ogos lalu, sekali gus mengukir kejayaan kutipan mencecah RM1.8 juta pada hari pertama tayangan.

Dengan kejayaan tersebut, jumlah pawagam yang menayangkan filem ini turut bertambah menjadi 137 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.

Manakala, peminat dan penonton di Singapura boleh menonton di pawagam berhampiran mereka bermula 16 Ogos ini.

Filem yang diarahkan oleh Mamat Khalid itu dibintangi oleh Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Uqasha Senrose, Ropie, Mus May, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz serta penampilan istimewa Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.