BUKAN RM28, bukan RM280 atau bukan RM2,800, sebaliknya, sekeping tiket untuk menonton konsert jelajah kumpulan K-Pop ternama dunia, BTS 'Love Yourself' yang akan berlangsung di Singapura pada 19 Januari ini dijual pada harga RM28,000!

Ini bukan omong kosong kerana sudah menjadi lumrah, setiap kali konsert berprofil tinbggi diadakan di mana-mana negara sekalipun, tentu sahaja ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan luar biasa.

Konsert jelajah BTS, 'Love Yourself' tidak ketinggalan turut dimanipulasi oleh 'ulat tiket' yang menjual tiket pada harga setinggi itu.

Apa yang mengejutkan, tiket semahal itu hanya tinggal sekeping saja yang belum terjual berdasarkan pemantauan kami di laman web Stubhub, Singapura.

Sehingga pukul 2 petang Selasa, laman web berkenaan juga memaklumkan sudah 54 peratus tiket habis dijual selain memamparkan jumlah tiket yang dibeli dari semasa ke semasa termasuk ARMY dari Thailand, Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Di laman web yang sama, orang ramai boleh melihat perkembangan jualan tiket yang dijual semula dan boleh boleh dibeli dengan harga dari RM 618 hingga RM 28,611!

Perkembangan ini, mencetuskan kemarahan dalam kalangan peminat setia BTS yang menggelarkan diri mereka sebagai ARMY yang memnyifatkan tindakan ‘ulat tiket’ ini sebagai keterlaluan.

Bahkan, polis di Singapura juga mengingatkan peminat untuk membeli tiket melalui cara yang sah.
Sebetulnya, harga termahal bagi tiket asal cuma bernilai RM1,055 sahaja.

Pada tahun lalu, ketika siri jelajah ke Amerika Syarikat, tiket konsert BTS juga dijual pada harga yang berlipat kali ganda kerana adanya permintaan yang tinggi.

Beberapa faktor yang menjadikan konsert BTS di Singapura sebagai konsert yang paling ditunggu-tunggu ARMY di rantau Asia Tenggara.

Kumpulan ini hanya mengadakan konsert mereka satu malam sahaja di Singapura sekali gus membuka tirai pementasan mereka untuk tahun 2019.

Dan ARMY di Asia Tenggara pula perlu menunggu sehingga awal April depan apabila BTS mengadakan konsert selama dua malam di Bangkok, Thailand.

Ini juga adalah kemunculan semula BTS di Singapura selepas kali terakhir mengadakan konsert jelajah The Red Bullet pada 2014 di The Star Theatre yang hanya mampu memuatkan 5,000 penonton.

Konsert ‘Love Yourself’ ini akan mencipta sejarah sebagai konsert K-Pop pertama yang diadakan di Stadium Nasional, Singapura yang mampu memuatkan lebih 50,000 penonton.

BACA: Konsert BTS di Malaysia, peminat risau harga tiket mahal
BACA: Ini best! Tony Fernandes sahkan BTS bakal gegarkan KL

Dan ARMY di Malaysia pula masih menantikan kepastian untuk kumpulan itu membuat persembahan di Kuala Lumpur.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini mengesahkan pihaknya di peringkat akhir persetujuan untuk membawa BTS membuat konsert di Malaysia.