Pelakon veteran Datuk Lai Meng meninggal dunia pada usia 90 tahun kerana penyakit kritikal.

Lapor Sinchew Daily, Lai Meng atau nama sebenarnya adalah Lai Kwai Yoon, meninggal dunia malam tadi (Ahad, 6 Mei).

Lai Meng dikenali kerana wataknya dalam sitkom tempatan yang pernah popular bermula tahun 1966, iaitu Empat Sekawan yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sitkom yang menggunakan beberapa dialek seperti Mandarin, Hakka, Hokkien dan Kantonis bersiaran selama dua dekad.

Mendiang telah berkecimpung dalam industri seni ini selama 58 tahun, dan pernah dinobatkan sebagai ‘Longest Performing Artist’ dalam The Malaysia Book of Records pada tahun 2011.

Selain itu, beliau juga pernah dianugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Golden Award ntv7 2010.

Mendiang telah dianugerahkan penggiat TV Wanita Terbaik pada usia 86 tahun di Festival Filem Malaysia ke 25.

Pernah tercalon sebagai Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Golden Horse Taipei ke-45 pada usia 81 tahun kerana wataknya sebagai ibu yang ditimpa penyakit Alzheimer dalam filem Singapura ‘Money No Enough 2’.

Mendiang juga pernah tampil dalam filem-filem hit lain seperti Ah Long Pte Ltd (2008), Love Matters (2009) dan Where Got Ghost? (2009) serta iklan.

Lai Meng dianugerahkan gelaran Datuk oleh Sultan Pahang pada tahun 2013 dan darjah kehormatan AMN oleh Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1978.

Mendiang meninggalkan dua anak lelaki dan seorang anak perempuan, serta empat orang cucu.