Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa Macao (IFFAM) membuka tirainya pada Khamis dengan sasaran mengembangkan industri pelancongan dan kreatif daerah pentadbiran khas China itu.

Presiden jawatankuasa penganjur IFFAM, Maria Helena de Senna Fernandes berkata penganjuran festival yang julung-julung kali diadakan itu diharap akan merancakkan lagi sinergi antara kebudayaan dan pelancongan sekali gus mendokong cita-cita Macao untuk jadi pusat pelancongan dunia.

Acara itu juga katanya, memberi ruang kepada industri kreatif dan kebudayaan tempatan untuk belajar daripada dunia.

“Macao ialah tempat budaya Timur dan Barat dipadukan menjadi simfoni yang indah. Ia telah jadi lokasi penggambaran beberapa buah filem. Acara bertaraf antarabangsa seperti ini mempamerkan kemampuan kita dan menawarkan ruang untuk pertukaran (idea) berkelas dunia untuk industri kebudayaan dan kreatif tempatan,” katanya pada majlis pembukaan IFFAM.

IFFAM dianjurkan oleh Pejabat Pelancongan Kerajaan Macao dan Persatuan Produksi Televisyen & Filem dan Kebudayaan Macao dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk syarikat korporat.

Festival yang akan jadi acara tahunan ini menghimpunkan komuniti filem tempatan dan antarabangsa serta memperkenalkan peminat filem setempat kepada kepelbagaian genre dan stail filem dari serata dunia.

Filem Perancis arahan Angelin Preljocaj dan Valérie Müller Polina diberi penghormatan membuka festival. Ia mengisahkan tentang seorang penari klasik yang merantau ke Moscow untuk menyertai kumpulan penari berprestij, Bolshoi Ballet. Tayangan di IFFAM malam Khamis merupakan tayangan perdana untuk Asia.

Sejumlah 12 filem dipertandingkan pada festival ini yang menayangkan keseluruhan 50 buah filem dari lebih 20 buah negara.

Antara filem yang ditayangkan pada festival ini termasuk Pandora arahan Park Jung Woo dari Korea Selatan, Gurgaon arah Shanker Ramesh dari India dan The Mole Song — Hong Kong Capriccio arahan Takashi Miike dari Jepun. Filem klasik Hong Kong, Immortal Story arahan Yonfan yang dibaik pulih akan ditayangkan sempena ulang tahun tayangan perdananya yang ke-30. Filem itu menjalani penggambarannya di Macao pada 1986.

Selain tayangan filem, IFFAM juga memperkenalkan 12 projek filem kepada para pelabur yang berpotensi.

IFFAM akan berlangsung sehingga 13 Disember sebelum ditutup dengan majlis anugerah dan penyampaian anugerah kepada pemenang. Semua filem yang bertanding dihakimi oleh panel juri yang diketuai oleh pengarah Shekar Kapur.