Ingin jadi 'pengurus' di BTS World? Ini enam perkara yang perlu anda tahu sebelum berangan-angan

Ingin jadi 'pengurus' di BTS World? Ini enam perkara yang perlu anda tahu sebelum berangan-angan
Permainan ini akan dilancarkan di seluruh dunia, kecuali China, di semua peranti iOS dan Android pada 26 Jun ini dan boleh dimuat turun secara percuma. - btsw.netmarble.com
KUMPULAN K-Pop terkemuka Korea Selatan, BTS bukan sahaja berjaya menawan pentas hiburan di seluruh dunia dan berjinak-jinak dengan anak patung Barbie keluaran Mattel, malah kumpulan itu turut menggegarkan dunia maya!

Terbaharu, septet ini bakal tampil dengan permainan video ‘BTS World’ dan ARMY (kumpulan peminat BTS) kini boleh menjadi ‘pengurus’ mereka pula!

‘BTS World’ yang dibangunkan syarikat permainan mudah alih Korea Selatan, Netmarble dengan kerjasama BTS akan dilancarkan di alam maya pada 26 Jun ini.

Adakah anda sudah tahu enam fakta mengenai permainan simulasi mudah alih ini?

Mengembara merentasi masa ke tahun 2012

BTS sebenarnya berada di bawah naungan Big Hit Entertainment dan membuat debut (penampilan sulung) pada 2013 serta mempunyai tujuh anggota iaitu Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook.

Keistimewaaan permainan digital ini adalah ia boleh membawa pemain yang bertindak sebagai ‘pengurus’ untuk mengembara merentasi masa ke tahun 2012, iaitu sebelum kemunculan BTS.

Tujuannya adalah supaya ‘pengurus’ dapat membimbing septet tersebut dalam mengejar impian untuk menjadi mereka ‘superstar’.

Berinteraksi secara ‘virtual’ dengan BTS

Pemain akan berhadapan dengan pelbagai misi dan perlu memilih kad anggota BTS tertentu bagi menyempurnakan misi tersebut sebelum beralih ke peringkat seterusnya.

Dengan mengumpul dan menaik taraf kad-kad tersebut, pemain boleh membongkar lebih banyak kisah sepanjang permainan dan akan berpeluang untuk berinteraksi secara ‘virtual’ dengan BTS menerusi sistem interaktif satu ke satu.




Menawarkan kandungan eksklusif

Permainan mobil ini juga menawarkan kandungan eksklusif, termasuk 100 klip video dan 10,000 foto terbaharu yang tidak dapat ditonton di platform lain.



Ia turut menjanjikan soundtrack asal yang baharu daripada septet ini.


Penampilan ‘MatMangMakz’ dengan lagu ‘Dream Glow’

Bercakap mengenai soundtrack, lagu pertama ‘Dream Glow’ yang telah dimuat naik di permainan maya tersebut  pada 7 Jun lalu didendangkan oleh Jin, Jimin dan Jungkook.





Lagu hasil kolaborasi bersama penyanyi Britain, Charli XCX itu juga merupakan penampilan pertama ‘MatMangMakz’ yang merupakan singkatan perkataan dalam Bahasa Korea untuk ‘matnae’ (anggota paling berusia iaitu Jin), ‘Mang-gae’ (nama samaran Jimin), dan ‘maknae’ (anggota paling muda iaitu Jungkook.


Percuma untuk dimuat turun tetapi…

Permainan ini akan dilancarkan di seluruh dunia, kecuali China, di semua peranti iOS dan Android pada 26 Jun ini dan boleh dimuat turun secara percuma.

Bagaimanapun, seperti permainan Netmarble yang lain, ia mungkin memerlukan pembayaran dalam aplikasi (in-app purchase) untuk mendapatkan akses penuh kepada semua elemen dalam permainan tersebut.


Tunggu apa lagi? Pra-pendaftaran telah dibuka!

Pra pendaftaran telah dibuka di btsw.netmarble.com .

Laman ini menyediakan demo permainan mini BTS World dan juga menawarkan pengenalan kepada permainan, cerita BTS dan ‘sneak peek’ fungsi permainan yang membenarkan pemain berinteraksi dengan anggota BTS.

Adakah anda tidak sabar-sabar untuk ‘mengurus’ BTS, 'manager-nim' (tuan Pengurus)?

Kongsikan pendapat anda di ruang komen!

Tag: BTS, BTS World, permainan, Netmarble, Korea Selatan, Jin, Suga, J-Hope, RM, Jimin, V, Jungkook, Charli XCX, Dream Glow


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.