SUSULAN pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, terdapat pelbagai komplikasi untuk pembikin filem mengatur jadual tayangan hasil karya seni mereka.

Selain itu, ekoran perintah kawalan pergerakan atau perintah berkurung di beberapa negara, panggung wayang turut diarahkan ditutup bagi membendung penularan wabak ini.

Filem-filem yang dijadual ditayangkan juga terpaksa ditangguhkan sehingga perintah sekatan selesai.

Berikut Astro AWANI senaraikan lapan tajuk filem yang ditangguhkan tayangan di pawagam akibat COVID-19.


1. A Quiet Place II

.

Filem seram ini mengisahkan tentang keluarga Abott yang terpaksa menyelamatkan diri mereka dan anak-anak di kala dunia diserang makhluk asing yang tidak dapat melihat namun mempunyai deria pendengaran yang amat tajam.

"A Quiet Place 2" dibintangi, antara lain, pelakon terkenal Emily Blunt dan John Krasinski.

Sekuel ini dijadual untuk tayangan pada 8 Mac lalu, namun ditunda ke 4 September ini.


2. Antebellum

.

Filem drama seram ini mengisahkan tentang penulis Veronica Henley yang mendapati dirinya terperangkap dalam realiti menakutkan dan perlu meleraikan misteri itu sebelum terlewat.

"Antebellum" dibintangi pelakon dan penyanyi terkenal Janelle Monae.

Tayangan filem ini dijadualkan pada bulan April lalu namun ditunda hingga 21 Ogos ini.


3. Antlers

.

Filem berunsur seram ini dijadualkan untuk tayangan pada 17 April lalu namun masih tiada pengumuman tarikh baharu tayangannya.


4. James Bond: No Time To Die

.


Siapa yang tidak kenal filem bersiri tentang agen risikan yang popular selama lebih lima dekad itu.

"No Time To Die" merupakan keluaran terbaharu dalam francais filem James Bond.

Dijadualkan untuk tayangan pada 10 April lalu, namun filem risikan British yang terkenal ini akan ditunda hingga 25 November tahun ini.


5. Black Widow

.

Filem francais Marvel yang membintangi pelakon terkenal Hollywood, Scarlett Johannson ini dijadualkan untuk tayangan pada 1 Mei lalu namun ditunda sehingga 6 November 2020.


6. Wonder Woman 1984

.

Filem yang dinanti-nantikan peminat tegar DC Comics ini juga terpaksa ditunda kerana pandemik yang sedang melanda dunia kini.

"Wonder Woman 1984" yang dibintangi oleh Gal Gadot ini dijadualkan untuk tayangan pada 5 Jun lalu namun ditunda ke 14 Ogos ini.


7. Mulan

.

Dibintangi pelakon terkenal Liu Yifei sebagai Fa Mulan, filem keluaran Walt Disney Pictures yang dijadualkan untuk tayangan pada 27 Mac lalu ini ditunda ke 24 Julai.


8. Candyman

.



Filem bertemakan alam ghaib yang ditulis oleh pelakon dan pelawak terkenal Jordan Peele ini dijadual ditayangkan pada 12 Jun ini namun ditunda hingga 25 September.

Filem arahan Nia DaCosta ini merupakan sekuel bagi filem partamanya yang pernah ditayangkan pada tahun 1992.