Sebut sahaja Umarul Iklim tentunya ramai yang mengenalinya sebagai pemain gitar kumpulan Iklim yang tersohor.

Malah Umarul atau nama sebenarnya Umarul Mahdzar bukan sahaja bermain gitar tetapi dialah juga yang banyak mencipta lagu dan penerbit album iklim.

Kalau diikutkan banyak lagu Iklim yang 'meletup' adalah hasil sentuhan ideanya, namun tidak ramai yang mengetahui sisi cerita beliau yang lain.

Umarul ini sebenarnya boleh dikategori sebagai suami mithali.

Mungkin jika ada orang yang perasaan, ke mana jua Umarul pergi, beliau akan membawa bersama isterinya.

Sering kali orang akan melihat Umarul memimpin tangan isterinya itu.

Sebenarnya isteri Umarul, Roziah Rani, 55 tahun, telah menderita penyakit kencing manis yang serius sehingga menyebabkan matanya tidak lagi mampu melihat.


Derita itu telah ditanggung Roziah sejak 2016 lagi.

"Akak ni kena kencing manis dah lama juga.. tapi akak jadi buta ni pada bulan Julai 2016 yang lalu. Masa tu akak ingat lagi, bulan puasa.

"Akak anggap ini adalah hadiah istimewa daripada Allah pada akak," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Bagi Umarul pula, apa yang menimpa isterinya itu adalah satu rahmat dan bukannya bebanan.

"Abang sebenarnya tak kisahpun kekurangan yang dialami oleh akak. Malah kalau anda nak tahu hubungan kami bertambah erat dan mesra sejak akak buta.

"Kalau ikutkan, ke mana sahaja abang pergi abang takkan berenggang dengannya. Kalau dia pergi rumah ipar duai, abang rasa tak senang hati dan kosong... lagilah kalau dia tidur rumah adik beradik dia, lagilah abang tak boleh tidur. Dia nyawa abang," katanya.

Jelas Umarul, segala makan minum dan pakaian memang diuruskan olehnya, malah bagi Umarul itulah saat yang sentiasa dinantikannya kerana ia soalah memberikannya kepuasan.

Ketiika ditanya adakah beliau ingin berkahwin lagi, Umarul dengan ringkas menjawab hidupnya sudah sempurna hanya bersama isterinya Roziah.

"Kenapa nak kahwin lain? Saat inilah nikmat bahagia bagi abang. Abang tak pernah fikir untuk kutip apa-apa hasil kerana uruskan isteri abang.

"Abang cuma dapat bersama dia dalam kehidupan di sini dan juga di sana. Soal pahala ke apa ke, kalau ada, syukur seribu rahmat dan abang kutip sahaja di sana (akhirat) nanti mudah-mudahan.

"Kalau bab nak harapkan balasan di dunia, abang tak pernah fikir. Cukuplah Allah bagi abang, " katanya sambil menutup perbualan.