ASTRO mengalu-alukan saranan yang tidak menggalakkan pelakon muda disolek memegang watak orang tua dalam drama atau telefilem bermula 1 Januari 2020.

Menurut Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh, cadangan terbabit disambut baik tetapi semuanya mengikut kesesuaian.

"Kami mengalu-alukan cadangan tersebut. Ia bakal membuka peluang dan rezeki terhadap pelakon veteran untuk membawa watak yang sesuai dalam sesebuah naskhah di kaca televisyen.

"Tetapi, semuanya mengikut kesesuaian. Kami menyokong cadangan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), tapi tidak bermakna kreativiti penerbit harus disekat.

"Sebagai contoh, jika ada watak yang bersesuaian untuk memaparkan golongan berusia emas, ia seharusnya diberikan kepada pelakon veteran.

"Jika watak itu memerlukan kesinambungan dan memaparkan transisi dari zaman muda ke tua, pelakon yang sama harus digunakan.

"Tetapi, seperti yang dikatakan, semuanya bergantung mengikut kesesuaian," katanya.

Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh


Tambah Khairul, Astro sedia bekerjasama untuk mencari kata sepakat.

"Jika ada pertemuan dengan pihak FINAS, penerbit, stesen penyiaran dan persatuan yang mewakili pelakon veteran, Astro sedia untuk bekerjasama dan menyertai mereka bagi mencari kata sepakat," katanya lagi.

Kredit foto: Universiti of the Arts London