Aktres jelita Izara Aishah, 25, sah bergelar isteri kepada Muhammad Adib Khalid, 27, yang juga anak tiri kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan sekali lafaz tepat jam 9 malam tadi.

Pada majlis yang diadakan di satu lokasi di Damansara itu, Izara menerima mas kahwin RM700 berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki. Jumlah wang hantaran bagaimana pun dirahsiakan. Sementara itu, Izara membalas dengan tujuh dulang.

Majlis itu dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada keluarga kedua belah pihak, rakan artis dan sahabat handai. Pasangan itu dinikahkan oleh Ustaz Mohd Jazlan Ali.

Izara berkata, dia bersyukur apabila majlis yang dirancang selama tiga bulan berjalan lancar.

“Alhamdulillah, sempurna sudah majlis pernikahan. Sejujurnya, saya berasa sangat gementar sebelum acara bermula. Namun, apabila Adib selesai melafazkan akad nikah, baru saya berasa lega.

“Apa yang pasti, bermula sudah tanggungjawab baru saya sebagai isteri. Saya mengharapkan semoga rumah tangga yang dibina ini berkekalan hingga ke jannah dan berlangsung dengan baik.

"Doakan yang terbaik buat kami,” pintanya.

Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 7 Julai lalu selepas bercinta selama tiga tahun.

Pasangan ini turut diraikan dalam satu majlis resepsi sebelah pihak perempuan seusai acara akad nikah.

Majlis yang mendapat sentuhan daripada perancang perkahwinan GlamWeddings itu turut diserikan dengan persembahan nyanyian daripada penyanyi popular tanah air Marsha Milan dan Kilafairy.

Busana kedua mempelai mendapat sentuhan pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim serta barang kemas daripada Habib. Tatarias pula oleh Khir Khalid.

Antara rakan artis yang hadir, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Osman Ali, Ghaz Abu Bakar, Azira Shafinaz dan ramai lagi.