Filem Munafik meraih lima anugerah termasuk anugerah utama Filem Terbaik Nasional di Festival Filem Malaysia ke 28 malam tadi.

Pengarah filem tersebut, Syamsul Yusof turut meraih trofi Pengarah Terbaik dan Penyunting Terbaik.

'Jagat', filem di dalam Bahasa Tamil membawa pulang trofi Filem Terbaik Malaysia. Pengarahnya, Shanjey Kumar Perumal dinamakan Pengarah Baharu Terbaik.

Pelakon filem Mat Moto, Pekin Ibrahim memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik, manakala pelakon Nabila Huda dari filem Munafik memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik.

Pengarah prolifik era 80an, Deddy M. Borhan menerima Anugerah Sepanjang Zaman atas sumbangan beliau kepada dunia filem tempatan dengan penerbitan filem-filem seperti Keluarga Si Comat, Azura dan Hapuslah Airmata Mu.

FFM28 dilanda kontroversi berikutan pemecahan kategori filem berdasarkan bahasa sehingga melibatkan campurtangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Kontroversi itu menyebabkan kewujudan dua kategori baru iaitu kategori Anugerah Filem Terbaik Nasional FFM28 yang merupakan anugerah utama kebangsaan kepada filem terbaik yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pertuturan filem selaras dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan Malaysia.

Manakala kategori Anugerah Filem Terbaik Malaysia FFM28 adalah anugerah terbaik festival kepada filem yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia dengan menggunakan sebarang bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa pertuturan filem.

Persembahan malam tersebut turut dimeriahkan dengan lagu-lagu dari filem-filem ikonik Malaysia yang dipersembahkan oleh Man Bai, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Aizat, Tomok dan Azlan Typewriter.

Festival Filem Malaysia ke 28 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Senarai Pemenang di Malam Kemuncak Festival Filem Malaysia 28

Filem Terbaik Nasional FFM28: Munafik
Filem Terbaik Malaysia FFM28: Jagat
Pengarah Terbaik: Syamsul Yusof (Munafik)
Lakonlayar Terbaik: Bea Tanaka (Nota)
Pelakon Lelaki Terbaik: Pekin Ibrahim (Mat Moto - Kami Mat Moto bukan Mat Rempit)
Pelakon Wanita Terbaik: Nabila Huda (Munafik)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Hushairi Husain (Polis Evo)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Fauziah Dato' Ahmad Daud (Langit Cinta)
Pengarah Baharu Terbaik: Shanjey Kumar Perumal (Jagat)
Pelakon Baharu Lelaki Terbaik: Adam Shahz (Juvana 2)
Pelakon Baharu Wanita Terbaik: Falisha Crosley (Mat Moto Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit)
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Tan Qin Lin (The Kid From The Big Apple)
Cerita Asal Terbaik: Pekin Ibrahim (Mat Moto - Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit)
Sinematografi Terbaik: Harris Hue Abdullah (Polis Evo)
Penyunting Terbaik: Syamsul Yusof (Munafik)
Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman: Deddy M. Borhan
Anugerah Khas Juri
Mengangkat nilai perpaduan dan kekeluargaan menerusi semangat kesukanan - Ola Bola
Mengangkat nilai produksi dan nilai komersial yang tinggi - Polis Evo
Mentransformasikan nilai budaya dan merapatkan jurang generasi - The Kid From The Big Apple

Senarai Pemenang di Malam Pembukaan Festival Filem Malaysia 28
1. Kesan Visual Khas Terbaik: Yusry Abd Halim untuk Cicakman 3
2. Pereka Kostum / Busana Terbaik : Elaine Ng, Weng Shum untuk Ola Bola
3. Penataan Seni Terbaik: Wong Jee Meng dan Nick Wong untuk Huat the Fish
4. Penataan Bunyi Terbaik: Imaginex Studios untuk Munafik
5. Skor Muzik Asal – Ong San & Alex San untuk Ola Bola
6. Lagu Tema Asal Terbaik: Zee Avi, Rendra Zawawi - Arena Cahaya utk Ola Bola
7. Filem Animasi Pendek Terbaik: Wau Animation untuk Ejen Ali
8. Filem Pendek Terbaik: Entrophy Studios Sdn Bhd untuk RM10
9. Anugerah Penggiat Belakang Tabir – Encik Mohd Noor Tagaya
10. Filem Dokumentari Terbaik: Dos Fellas Sdn Bhd untuk Boat People