Jaguh MMA negara ditampilkan dalam filem aksi 'J Revolusi'

Jaguh MMA negara ditampilkan dalam filem aksi 'J Revolusi'
Filem 'J Revolusi' yang merupakan gandingan Grand Brilliance dan Infinitus Productions, akan dibintangi oleh pelakon popular, Zul Ariffin dan Nur Fazura.
KUALA LUMPUR: Syarikat produksi tempatan, Grand Brilliance bakal menerbitkan sebuah filem aksi yang akan menampilkan jaguh seni mempertahankan diri campuran (MMA) negara seperti Peter Davis dan Saiful Merican.

Filem J Revolusi yang merupakan gandingan Grand Brilliance dan Infinitus Productions, akan dibintangi pelakon popular, Zul Ariffin, Farid Kamil dan Nur Fazura.

Ia juga merupakan filem terbitan bintang terkenal Hong Kong, Andy Lau yang pertama di Kuala Lumpur menerusi Infinitus Productions, yang mengisahkan tentang kehidupan anggota Unit Tindakan Khas (UTK).

Peter dan Saiful yang memainkan watak antagonis dalam filem tersebut, teruja dengan peluang yang diberikan kepada mereka.
Menurut Peter, peluang tersebut dapat memberi sumbangan besar kepada industri filem Malaysia dan juga sukan MMA di Asia.

"MMA telah dedahkan saya kepada banyak peluang dalam hidup saya, lebih dari apa yang saya dapat bayangkan.

"Walaupun saya juga bertinju, tetapi saya lebih teruja menjadi sebahagian dari filem 'J Revolusi' ini," katanya kepada ONE Championship.

Katanya, filem tersebut yang memerlukan aksi lawan dari petarung-petarung sebenar MMA, merupakan bukti perkembangan pesat sukan itu di rantau Asia.

Peter, 34, bukan seorang yang baru dalam bidang lakonan.

Jaguh kategori lightweight ONE Championship itu sebelum ini pernah membintangi beberapa filem termasuk filem arahan Mamat Khalid, Apokalips X.

Sementara itu, bagi Saiful pula, peluang terlibat dalam bidang lakonan merupakan impiannya sejak sekian lama.

"Berada di dalam filem merupakan impian semua orang, dan saya bertuah dapat menjadi sebahagian dari produksi ini.

"MMA telah membuka pintu kerjaya saya dan saya amat bersyukur dengan peluang yang diberikan. Saya tidak sabar!" kata petarung berusia 27 tahun itu.

Filem J Revolusi dijadual akan melalui sesi penggambaran pada suku kedua 2016, dan disasar untuk ditayangkan pada awal 2017.