JENAZAH suami penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL), Ashraf Sinclair dilaporkan tiba di rumah pengebumian di kawasan Pejaten Barat, Jakarta Selatan, jam 7.33 pagi waktu tempatan.

Menurut sumber yang dihubungi Astro AWANI, BCL keluar dari kenderaan jenazah dengan mata yang sembap.

Jelas sumber lagi, upacara pengebumian suami BCL dijadual berlangsung di Sandiego Hills pada pukul 8:04 pagi waktu Indonesia (9:04 pagi waktu Malaysia).

Ketika ini, kesemua ahli keluarga sedang mengurus upacara pengebumian jenazah.

Ashraf Sinclair meninggal dunia pada awal pagi Selasa kira-kira jam 3.45 waktu tempatan ekoran daripada serangan jantung.

Berita sedih itu disahkan oleh pengurus BCL sendiri, Doddy menerusi perbualan aplikasi WhatsApp.

"Iya (benar meninggal). Serangan jantung," katanya.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohammed Sinclair lahir di London, England pada 18 September 1979.

Beliau mengahwini penyanyi Bunga Citra Lestari pada 2008.

Allahyarham juga merupakan abang kepada penyampai radio Mix FM dan pelakon Aishah Sinclair, 39.