Jenazah Zaibo selamat dikebumikan

Jenazah Zaibo selamat dikebumikan
Gambar kenangan Zaibo bersama isterinya, Siti Hawa Sawal ketika berkahwin lapan tahun lepas. - BERNAMA
BATU PAHAT: Jenazah pelakon dan pelawak tanahair, Zaibo atau Zainal Ariffin Abd Hamid, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit pukul 9 malam tadi.

Jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 9.10 minit malam selepas selesai disembahyangkan di Masjid Pekan Rengit.

Selain keluarga, teman rapat, rakan seni turut kelihatan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Antara yang hadir, penulis lirik, Datuk Habsah Hassan, pelakon Rubiah Suparman dan pelawak, Mamat Sepah.


BACA: Zaibo takbir tiga kali sebelum rebah

BACA: "I'm sorry, Uncle Zaibo" - Wardina Safiyyah

BACA:
 'Allahyarham lesu, berkelakuan berbeza semalam' - Isteri Zaibo

Allahyarham pernah membintangi sitkom Spanar Jaya dan filem Anna and the King.

Dua hari lepas, Tuanku Puteri Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Sultan Ibrahim bersama suami, Dennis Muhammad Abdullah berkenan meluangkan masa melawat Allahyarham di kediamannya.

Balu Allahyarham Zaibo, Siti Hawa Sawal, 52, ketika ditemui pemberita di kediamannya di Rengit, Batu Pahat hari ini. - BERNAMA

Penulis lirik terkenal Habsah Hassan (kiri) dan pelakon Singapura Rudy Marican (tengah) yang merupakan rakan karib kepada Allahyarham Zaibo turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir di kediaman Zaibo di Rengit, Batu Pahat hari ini. - BERNAMA
Zaibo, 62 tahun, meninggal dunia pada 1.30 petang tadi di kediamannya di Rengit akibat kanser esofagus.

Penyakitnya mula dikesan pada 3 Sept lalu.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave yang turut hadir di pengebumian malam tadi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang rakan artis yang disenangi dan murah dengan senyuman.

"Dia memang selalu buat orang ketawa dan memang fasih berbahasa Inggeris, dia boleh ‘joke’ dalam Bahasa Inggeris dan juga Bahasa Melayu. We are going to miss him.

"Kita akan merindui wataknya sebagai pelawak dan penghibur… ia memang satu kehilangan besar," katanya.

DJ Dave turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham bagi meringankan beban keluarganya.


Tag: Zaibo, Zainal Ariffin Abd Hamid, meninggal dunia, DJ Dave



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.