Penyanyi rap dan penulis lirik, Joe Flizzow bakal mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihannya yang juga seorang pelukis profesional, Marini Ramlan pada April tahun depan.

Bagaimanapun, tarikh sebenar majlis masih belum ditetapkan ekoran pasangan itu baru sahaja mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis yang diadakan di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Marini dan Joe mula serius dalam hubungan mereka sejak 2016 selepas 15 tahun berkenalan.

Menurut ibu Joe, Aishah Ali, Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak, 40, mula menjalinkan hubungan serius dengan Marini, 41, sejak tiga tahun lalu sebelum memutuskan untuk bertunang pada hujung tahun ini.

“Mereka berdua sudah saling mengenali sejak 15 tahun lalu. Pada awalnya hanya berkawan.

“Pada tahun 2016, mereka mula rapat dan serius sebelum Joe melanjutkan pengajian pada cuti musim panas di Harvard Business School,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Majlis pertunangan Joe dan Marini yang dihadiri oleh keluarga terdekat dan teman rapat di Petaling Jaya, malam tadi.

Menurut Aishah, majlis pertunangan Joe memang dirancang untuk diadakan pada hujung tahun selepas selesai majlis perkahwinan adiknya, Iman pada Ahad lalu.

“Tiada sebarang tarikh istimewa untuk penetapan hari pertunangan mereka.. cuma kami mahu semuanya selesai selepas majlis adiknya.

“Selepas itu barulah diadakan majlis merisik dan bertunang,” jelasnya.

Majlis itu menyaksikan Marini menerima sebentuk cincin, manisan dan tepak sireh sebagai simbol adat Melayu dalam majlis berkenaan.

Pasangan ini dijangka mendirikan rumah tangga pada April tahun depan.

Kata Aishah, majlis berkenaan turut menyaksikan pertemuan antara dua keluarga iaitu dari Johor dan Terengganu.

Dihadiri oleh keluarga dan teman rapat, antara hidangan yang dijamu adalah nasi dagang, nasi minyak Terengganu, kuih-muih tradisional seperti akok dan sri kaya.