PASANGAN Justin Bieber dan Hailey Baldwin dilaporkan telah berkahwin dalam satu upacara di mahkamah New York pada hari Khamis, dua bulan selepas melangsungkan pertunangan, lapor portal E! News.

Bagaimanapun, laporan itu dinafikan Baldwin yang memuat naik tweet, "Saya faham dari mana spekulasi itu datang, tetapi saya belum berkahwin lagi!"

TMZ melaporkan pasangan itu dilihat hadir ke bahagian pendaftaran perkahwinan pada Khamis dan mendedahkan penyanyi dan peragawati itu merancang majlis perkahwinan kecil-kecilan awal minggu depan, kemungkinan besar di kampung halaman Bieber di Kanada.

Beberapa sumber memberitahu portal E! News yang pasangan itu ke mahkamah New York adalah untuk menguruskan dokumen perkahwinan.

Mengikut undang-undang, pasangan hanya boleh berkahwin selepas 24 jam lesen perkahwinan diluluskan.

Bieber, 24, dan Baldwin, 21, bertunang Julai lalu. Mereka dilaporkan sudah berkawan rapat sejak 2016, namun hubungan mereka mula serius pertengahan tahun ini.