Hos televisyen tempatan V. Arun Kumaran menganggap tanggungjawab untuk mengalih suara lagenda filem Tamil, Rajinikanth bagi filem 'Kabali' ke bahasa Melayu amat mencabar.

Tanggungjawab yang pertama kali digalasnya itu bukan sahaja memerlukan imaginasi seolah-olah berlakon dalam filem yang penuh beraksi, tetapi juga memerlukan intonasi suara yang berubah-ubah.

"Pada awalnya, saya ingat ia adalah sesuatu yang mudah tetapi selepas menjalani proses alih suara selama 10 hari, baru saya sedar ia bukan kerja yang senang seperti saya jangkakan tetapi amat sukar.

"Hal ini kerana saya perlu memberi perhatian kepada isi kandungan, tempoh masa, nada suara dan perasaan yang dilontarkan dalam dialog tersebut," katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Arun Kumaran merupakan antara barisan selebriti tanah air yang diberi kepercayaan untuk mengalih suara filem ke-159 Rajinikanth yang pertama kali dialih suara daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu oleh Malik Streams Corporation Sdn Bhd.

Turut diberi tanggungjawab untuk mengalih suara dalam filem itu ialah pelakon Fathia Latiff yang mengalih suara Dhansika, yang membawa watak anak Rajinikanth dalam filem itu serta pelakon Datuk Jalaluddin Hassan yang mengalih suara watak penjahat.

Filem itu turut menampilkan pelakon tempatan iaitu Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan dan Tony Kassim serta pelakon terkenal Taiwan, Winston Chao.

Arun Kumaran berkata antara cabaran ketika menggalas tanggungjawab itu ialah intonasi suara Rajinikanth dalam bahasa Tamil perlu dialih suara mengikut lenggok bahasa Melayu.

Jejaka berusia 27 tahun itu turut mendedahkan peti suaranya beberapa kali tercedera apabila turut sama menjerit dan meninggikan suara seperti mana yang dilakukan Superstar India itu.

Filem Kabali versi Melayu yang sepatutnya ditayangkan di layar perak pada Jumaat depan telah ditangguhkan kepada 29 Julai atas sebab tertentu, selain untuk memberi laluan kepada versi asal, iaitu filem berbahasa Tamil yang akan ditayangkan secara serentak di seluruh dunia pada 22 Julai ini.

Arun Kumaran berkata proses alih suara telah dilakukan di Chennai, India pada 17 Jun lepas dan kesemua mereka yang terlibat telah diterbangkan ke negara tersebut.

"Proses alih suara untuk saya seorang sahaja mengambil masa 10 hari, dan setiap hari saya mengambil masa kira-kira 14 jam untuk melakukannya," katanya.

Sementara itu, bagi penulis skrip filem versi Melayu itu Mohd Hafizfuddin Derani atau lebih dikenali sebagai Hafid Derani, cabaran yang dihadapinya sewaktu menyusun terjemahan skrip tersebut adalah bagi memastikan dialog yang dituturkan dalam bahasa Melayu mudah difahami.

Selain itu, ia mestilah mudah dihayati dan tidak kedengaran janggal oleh penonton Malaysia, katanya.
"Ini kerana tatabahasa Tamil amatlah berbeza dengan tatabahasa bahasa Melayu. Saya perlu sentiasa memerah otak dan memikirkan apakah dialog yang sesuai, sama maksud tetapi dalam masa yang sama tidak kedengaran seperti bahasa baku," katanya.

"Saya tidak boleh menukar dialog asal Tamil ke bahasa Melayu tanpa permainan bahasa kerana akibatnya nanti filem itu akan kedengaran pelik dan kelakar. Ini akan merencatkan tumpuan penonton," katanya sambil mengakui tugas yang diberikan itu amat berat dan sukar.

Hafid yang juga pertama kali berganding bahu dengan produksi filem Tamil yang terkenal di peringkat antarabangsa, V Creations, turut menzahirkan perasaan bangga dan teruja dengan tawaran bekerja dengan mereka.

"Banyak yang saya pelajari daripada mereka (kru India) yang mana pengalaman serta ilmu tersebut tiada dalam industri di Malaysia. Jurang antara industri Malaysia dengan industri perfileman India sangat jauh, kita sudah ketinggalan lebih 30 tahun daripada mereka," jelasnya.


Penulis skrip drama 'Stella' dan 'Tiga Hari Menanti Mati' itu berkata bekerja dengan V Creations dan Malik Streams Corporation Sdn Bhd untuk filem Kabali memberinya peluang mempraktikkan segala ilmu yang telah dipelajari.

Dalam filem Kabali, Rajinikanth atau nama sebenarnya Shivaji Rao memegang watak samseng Don di Malaysia, dan dikenali sebagai Kabaliswaran yang merupakan judul filem tersebut.

Kehangatan filem yang menjalani penggambaran di Malaysia itu turut dirasai di negara ini apabila 'flashmob' diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara bagi mempromosi filem itu, sementara AirAsia Bhd pula turut mempromosikan filem di pesawatnya.