"Kalau kita baik, semua orang sayang kita," - nasihat Allahyarham Abam Bocey

"Kalau kita baik, semua orang sayang kita," - nasihat Allahyarham Abam Bocey
Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Abam, 32 menghembuskan nafas terakhir di Gombak pada Isnin. - Gambar fail
GOMBAK: Berita pemergian Allahyarham Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, atau lebih dikenali sebagai Abam Bocey sudah tentu mengejutkan semua pihak terutama keluarganya.

Bagi adiknya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 31, pemergian Abam memberi kesan mendalam kepada dirinya.

Jelas Ali, selain sebagai seorang abang, keperibadian Allahyarham Abam amat disenangi peminat mahupun rakan-rakan.

"Dia pernah cakap dengan saya, kalau kita baik Li (Ali) semua orang sayang kita. Dia tidak pernah gaduh, tidak pernah menyusahkan orang, hari ini terbukti penuh masjid ni nak tengok dia," kata Ali.

BACA: "Abam aku datang dengan mak ni, bangunlah Abam" - Ali Puteh

BACA: Pelawak Abam Bocey meninggal dunia


Allahyarham Abam yang mula menceburkan diri sebagai pelawak selepas dinobatkan sebagai Naib Juara salah sebuah program realiti TV pada 2013.

"Saya cakap dengan dia (Abam), bang kalau kita kerja cari rezeki, untuk keluarga kita kan. Dia lebih hebat dari saya, tapi dia dapat sara kami adik beradik, dia kata pada saya satu hari nanti kau akan ikut jejak aku Li (Ali)," kata Ali sambil mengesat air mata.

Tahun demi tahun, pelbagai anugerah serta pengiktirafan diberikan kepada Allahyarham atas hasil karya beliau di pentas lawak.


Allahyarham dinobatkan sebagai Juara Maharaja Lawak Mega (MLM) pada tahun 2016 dan 2017, Naib Juara Maharaja Lawak Mega pada tahun 2018 dan berjaya meraih tempat ketiga pada tahun lalu.

Jelas Ali, kejayaannya menjadi juara Maharaja Lawak Mega pada tahun 2019 paling tidak dapati dilupakan, apabila Abam memeluknya di atas pentas selepas keputusan diumumkan.

"Malam final (MLM 2019) tu bila saya menang, dia orang pertama peluk saya lama-lama. Saya tidak mampu kalahkan dia lagi, bila menang dia kata, 'Kau adik aku, hebat, paling handal kau boleh kalahkan abang kau'.

"Dia peluk saya lama atas pentas, saya cakap 'Bang, aku menang tapi aku menang bukan untuk orang lain tapi untuk kita'," jelas ahli kumpulan Puteh itu.

Beliau tidak menyangka, kata-kata Abam itu merupakan kali terakhir beliau berada di atas pentas bersama Allahyarham.

Allahyarham Abam meninggalkan seorang balu, Siti Nur Hidayah Mohd Ali, 28 dan anak lelaki mereka Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey hasil perkongsian hidup mereka sejak 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak pada pagi Isnin, sebelum jenazahnya dihantar ke Hospital Selayang bagi proses bedah siasat.

Jenazahnya kemudian dibawa ke Masjid Zakaria, Gombak kira-kira jam 5.30 petang dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu dekat sini pada pukul 7.30 malam.


Tag: Abam bocey, Bocey, Gombak, Bedah Siasat, Syed Umar, Maharaja Lawak Mega, Ali Puteh, Abam Bocey meninggal dunia, MLM 2019, Hospital Selayang, Masjid Zakaria, Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.