Para pembikin filem tempatan berdepan dengan 'dilema' susulan prosedur operasi standard (SOP) penggambaran filem, drama dan iklan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada Rabu.

Pembikin filem dokumentari, Ahmad Yazid Ahmad Puad memberitahu, meskipun kebenaran untuk mengadakan aktiviti penggambaran diluluskan selepas perayaan Aidilfitri namun tiada tarikh yang ditetapkan bila kru filem atau drama yang berkaitan dapat memulakan kerja.

Katanya, walaupun kerajaan telah membenarkan aktiviti penggambaran dibuat dalam fasa PKPB ini, namun belum ada satu tarikh yang muktamad.


"Memang dibenarkan selepas Aidilfitri tapi bila? Lepas Aidilfitri boleh jadi Disember atau hari raya ketiga. Jadi bila itu?

"Adakah SOP itu perlu dikemas kini dulu sebelum kita mendapat Sijil SPP (Perakuan Penggambaran Filem) daripada FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia)," katanya ketika di sini, pada Khamis.

Sementara itu, seorang lagi pengarah dan produser tempatan, Dr Vimala Perumal ketika dihubungi Astro AWANI menjelaskan, para pembikin filem juga tidak mahu mewujudkan kluster baharu susulan aktiviti penggambaran ini.

Sambil menyifatkan SOP yang menetapkan kru tidak melebihi 20 individu ini sedikit mencabar namun katanya, kru penggambaran perlu mengadaptasi normal baharu ekoran pandemik ini.


Ini kerana katanya, selalunya dalam setiap penggambaran sama ada filem atau drama sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih daripada 20 kru akan terlibat.

Walaupun begitu kata Vimala, beliau berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan membenarkan aktiviti penggambaran beroperasi semula.

Ini kerana katanya, kebanyakan kru adalah pekerja bebas atau sepenuh masa yang pendapatan mereka bergantung sepenuhnya kepada penggambaran.

Dalam pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu, antara SOP yang perlu dipatuhi ialah melakukan mesyuarat dan uji bakat secara dalam talian, mengemukakan rekod perjalanan semua tenaga produksi dan artis bagi tempoh empat minggu sebelum penggambaran dan memastikan tidak lebih daripada 20 orang terlibat dalam setiap sesi penggambaran.