Kejayaan syarikat animasi tempatan menembusi pasaran Hollywood memberi keyakinan kepada animator tempatan lain melebarkan sayap mereka ke persada antarabangsa.

Antara syarikat yang berjaya menempa nama dalam peta dunia industri animasi ialah syarikat Creatvtoon Studios, apabila dipilih oleh syarikat produksi filem terkenal antarabangsa yang menerbitkan siri filem pecah panggung Star Wars, Lucasfilm, untuk melaksanakan kerja produksi siri animasi 'Lego Star Wars: The Freemaker Adventures'.

Pengarahnya, Mohamed Khairi Ibrahim berkata beliau cukup teruja apabila Lucasfilm menaruh keyakinan terhadap syarikatnya untuk menjadi sebahagian daripada pihak terlibat menjayakan siri karya animasi yang mula ditayangkan di saluran Disney XD Jun lalu.

"Kami akui melalui proses yang mencabar kerana sesi produksi merupakan proses rumit dalam pembikinan sesuatu karya animasi untuk kami menentukan pergerakan watak atau objek dalam siri itu mengikut jalan cerita yang diberikan pihak penerbit (Lucasfilm).

"Walaupun sukar, kami tetap berbangga menjadi sebahagian daripada pihak yang menjayakan siri animasi yang diangkat daripada sebuah francais filem hebat dan sangat popular," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mohamed Khairi berkata tanggungjawab diberikan oleh Lucasfilm itu jelas menunjukkan syarikat antarabangsa yakin terhadap kerja-kerja animasi yang dilakukan animator tempatan dan secara tidak langsung melonjak nama Malaysia dalam industri animasi di peringkat global.

Beliau berkata pencapaian syarikatnya yang berjaya mencuri perhatian Lucasfilm memperlihatkan bahawa industri animasi negara berpotensi mempunyai prospek cerah dengan kemampuan animator tempatan dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa.

Mengulas lanjut, beliau berkata daya kreativiti ditonjolkan animator tempatan dalam penghasilan sesuatu karya menarik perhatian syarikat besar animasi antarabangsa khususnya yang beroperasi di Amerika Syarikat dan benua Eropah untuk mendapatkan khidmat mereka bagi menghasilkan karya berkualiti tinggi, selain kos penghasilan murah berbanding negara lain.

"Kebanyakan syarikat tempatan yang diberi tanggungjawab oleh syarikat animasi luar memberi servis kepada karya animasi itu termasuk mencipta idea bagi siri animasi, yang memakan masa kira-kira dua hingga empat tahun, bergantung kepada jumlah episod terhadap sesuatu karya dihasilkan," katanya.

Mohamed Khairi yang berpengalaman luas selama 21 tahun dalam industri berkenaan berkata perkembangan semasa dalam industri itu merupakan titik tolak daripada Dana Industri Kandungan Digital (DIKD) diwujudkan kerajaan yang menyaksikan banyak syarikat animasi lahir 'bagai cendawan tumbuh selepas hujan'.

Beliau yang memuji inisiatif kerajaan mewujudkan dana itu dalam membantu merancakkan pertumbuhan bidang berkenaan, berkata industri mula berkembang dengan kemunculan karya animasi yang mendapat perhatian ramai seperti Upin & Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali.

"Malaysia sangat bertuah kerana kerajaan menyokong penuh pembangunan industri animasi kreatif negara dan tidak hairanlah kita antara negara yang 'top' dalam penghasilan karya animasi di rantau Asia Tenggara selain Indonesia," katanya sambil menambah negara masih kekurangan bakat mahupun pakar animasi.

Mohamed Khairi berkata situasi itu membuktikan persepsi sesetengah pihak yang menganggap industri animasi tidak mempunyai masa depan cerah, adalah tidak benar.

"Semua pihak termasuk ibu bapa harus yakin bahawa industri animasi negara akan terus berkembang kerana industri ini merupakan platform terbaik bagi memperoleh pendapatan lumayan khususnya kepada generasi muda yang berminat dalam bidang ini," katanya.

Bagi memastikan industri animasi negara terus berkembang, beliau menyarankan syarikat-syarikat animasi untuk mengikuti perkembangan semasa industri dan mengikuti cita rasa penggemar animasi khususnya kanak-kanak kerana langkah ini mampu membuatkan karya itu diterima baik.

Katanya, para pembikin animasi perlu menjalankan kajian dari semasa ke semasa kerana cita rasa penggemar animasi ketika ini lebih tertumpu kepada karya yang lebih banyak bermain dengan dialog, lucu dan menarik untuk ditonton oleh semua golongan.

"Siri animasi seperti Phineas and Ferb, Spongebob Squarepants, dan The Simpsons merupakan karya yang mendapat rating tontonan tertinggi di dunia ketika ini, dan kesemuanya sarat dengan dialog lucu yang membangkitkan tawa penonton," katanya. - BERNAMA