Tutup

Kenali Nur Fatima, "beauty with brain" yang beri saingan hebat dalam GV6

Kenali Nur Fatima, "beauty with brain" yang beri saingan hebat dalam GV6
Pemilik nama sebenar Nur Fatimah Abd Wahab itu bukan sahaja bersuara lunak, malah layak digelar -beauty with brain- kerana memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Audio di Institute SEA, Sydney. - Gambar Instagram nurfatima_music
SEBUT sahaja nama Nur Fatima mungkin tidak ramai dalam kalangan generasi masa kini yang mengenali figura yang popular dengan lagu Selembut Sutera itu.

Namun, kehadiran penyanyi berusia 37 tahun itu kembali ke tanah air, dan menyahut cabaran menyertai Gegar Vaganza musim keenam (GV6) selepas hampir sedekad bermastautin di Canberra, Australia tidak boleh dipandang enteng.
Pemilik nama sebenar Nur Fatimah Abd Wahab itu bukan sahaja bersuara lunak, malah layak digelar “beauty with brain” kerana memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Audio dari Institute SEA, Sydney, Australia.

Mempunyai latar belakang pendidikan yang cukup baik, Nur Fatima merupakan antara peserta GV6 yang dilihat  memberi saingan sengit kepada peserta lain yang turut berentap untuk merebut gelaran juara.
“Bagi saya, setiap minggu saya akan buat yang terbaik dan pastinya perasaan gentar itu ada. Saya tidak mahu berada di tahap selesa, jadi persiapan dari segi mental dan fizikal itu, kalau boleh mahu konsisten setiap minggu.

“Memang jangkaan tinggi terutamanya daripada keluarga, kawan-kawan dan khususnya peminat. Jadi, saya akan cuba untuk konsisten dalam persembahan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, baru-baru ini.


 

Mengulas lanjut mengenai penyertaannya dalam GV6, Nur Fatima mengakui suaminya antara individu yang paling gembira selepas mengetahui beliau dijemput menyertai program realiti tersebut.

“Reaksi dia (suami) sebenarnya sangat gembira, dia yang muat naik video-video nyanyian saya dalam talian dan dia sangat memberi sokongan.

“Suami sentiasa menggalakkan saya melibatkan diri dalam kegiatan muzik dan ilmu yang saya belajar di universiti tidak sia-sia,” ujarnya lagi.


Dalam pada itu, Nur Fatima menolak dakwaan bahawa kehilangan beliau dalam industri hiburan Malaysia sejak 10 tahun lalu atas sebab merajuk.

“Sebenarnya peluang sentiasa ada, mungkin tidak sebesar artis-artis yang mempunyai nama besar. Saya terlibat dengan kerja di belakang tabir seperti mencipta lagu dan menulis lirik untuk penyanyi lain.

“Jadi, nak kata merajuk itu tidak lah sebab saya sambung pelajaran di Sydney, Australia dan bertemu jodoh di sana,” jelasnya.

Selepas melanjutkan pelajaran ke luar negara, Nur Fatima mendirikan rumah tangga dengan Mohd Jeffry Wain Wright, 50, sebelum mengambil keputusan untuk menetap di Canberra.

Beliau pernah menghasilkan tiga buah album termasuk Selembut Sutera yang diterbitkan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan pada 2000.

Ketika menetap di Canberra pula, Nur Fatima aktif menyanyi bersama kumpulan-kumpulan band di sana.

Pada konsert minggu lepas, Nur Fatima menerima pujian daripada juri tetap, Hetty Koes Endang selepas mempamerkan aksi nyanyian yang cukup hebat ketika berduet dengan Liza Hanim dengan lagu, Anggapanmu nyanyian asal Ziana Zain.

Persembahan Nur Fatima dan Liza Hanim menerusi lagu Anggapanmu disifatkan persembahan terbaik dalam Gegar Vaganza musim ini. - Gambar Instagram nurfatima_music


Konsert minggu kelima menyaksikan seramai 10 lagi peserta bakal berentap dengan lagu bertemakan "Curahan Hati".

GV6 bersiaran secarang langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada setiap Ahad jam 9 malam.


Tag: Australia, Sydney, hiburan, Nur Fatima, Gegar Vaganza musim keenam GV6, Selembut Sutera, beauty with brain



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.