RANCANGAN kumpulan metal terkemuka Metallica untuk merakam album baharu kini terjejas susulan kehilangan iPhone milik salah seorang anggota kugiran itu.

Pemain gitar utama Kirk Hammett dilapor telah merakam sebanyak 250 idea lagu baharu pada iPhone-nya sebelum menyedari kehilangan peranti itu.

Menurut Hammet, dia tidak membuat salinan idea tersebut ke cloud, dan hanya dapat mengingati lapan daripada sejumlah besar yang telah dirakam.

Ini bermakna idea lagu baharu itu sama ada akan dicuri atau hilang tanpa kesan, bergantung kepada siapa yang menemui telefon tersebut.

"Saya rakam runut bunyi pada iPhone saya, tapi satu kejadian malang berlaku kepada saya enam bulan lalu di mana saya hilang iPhone yang mengandungi 250 idea muzik. Saya amat kecewa (kerana) saya tidak membuat salinan," kata Hammett yang dipetik portal The Independent.

Lapor portal itu lagi, album ke-10 kumpulan itu masih dalam perancangan bergantung kepada irama lagu baharu, yang mana menurut Hammet adalah “lebih ganas.”

Katanya lagi, “Ada beberapa lagu yang seakan daripada album ‘And Justice for All’, tetapi album ini bukan berkonsepkan ‘And Justice for All’."