Walaupun salah seorang juri Asia’s Got Talent tidak menggemari elemen moden yang dibawa oleh kumpulan Sada Borneo, kritikan itu bakal digunakan sebagai penguat semangat kumpulan mereka.

Kata penulis dan pengubah lagu terkenal, David Foster pada saringan ujibakat lalu, beliau lebih suka elemen tradisional dari elemen moden yang dibawakan oleh Sada Borneo.

Pemain bungkau dan ruding kumpulan itu, Julian Frederick berpendapat komen dari Foster itu sangat bagus dalam merangka persembahan mereka di peringkat separuh akhir yang bakal disiarkan pada malam ini di saluran AXN.

“Komen dari Foster bagi kami sangat membina dan akan kami gunakan pada saringan seterusnya dalam menggabungkan muzik tradisional dan moden,” kata Julian yang turut bermain gitar untuk kumpulan tersebut.



Menurut pemain dram kumpulan ini, Allister Changat mereka terkejut dan gembira dengan penerimaan orang ramai terhadap muzik mereka selepas kejayaan di saringan yang lalu.

“Kami mula terima sokongan bukan sahaja dari dalam Malaysia malah peminat dari China, Indonesia, Filipina dan Thailand mula menerima muzik yang dibawa kami,” katanya kepada Astro AWANI.

Kumpulan muzik etnik kreatif ini berjaya ke peringkat separuh akhir dan bakal bertanding dengan bakat-bakat dari negara Asia yang lain malam ini.

Sada Borneo ditubuhkan pada tahun 2012 kini dianggotai 11 anggota yang berasal dari pelbagai negeri di Malaysia.

Selain Foster, Asia’s Got Talent diadili oleh tiga juri lain iaitu Anggun, Melanie C dan Vanness Wu.

Terdapat tiga cara untuk mengundi peserta kegemaran anda iaitu melalui SMS (kod berbeza bagi setiap negara), undian melalui Facebook dan undian menerusi aplikasi Asia’s Got Talent.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut cara-cara untuk mengundi, sila lawati laman web undian Asia’s Got Talent, Asiasgottalent.tv/vote. Di sana, anda akan mengetahui cara-cara mengundi yang khusus serta jadual pengundian.

Asia’s Got Talent disertai peserta dari 14 buah negara seluruh Asia dan boleh ditonton di saluran AXN Asia setiap Khamis.

sada borneo