Seniman Datuk M. Nasir akan terus mencuba melahirkan komposer di kalangan muka baharu khususnya untuk lagu berentak puisi walaupun menyedari agak sukar untuk mencari generasi pelapis.

Beliau berkata, dalam mencari bakat baharu beliau mengakui agak bersikap selektif apatah lagi menyedari lagu berentak puisi kurang mendapat tempat di kalangan masyarakat.

"Saya mengharapkan dari sudut kemahiran mencipta dan menulis lagu itu tinggi, tidak kira apa bentuk aliran muzik sekalipun, namun perkara itu sukar untuk saya dapati," katanya kepada Bernama.

M. Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad berkata, melalui syarikat rakamannya Luncai Emas Sdn.Bhd, beliau bersedia menerima sesiapa sahaja yang mahu mempelajari teknik mencipta lagu atau bekerja sebagai pencipta lagu.

"Kami akan jadikan mereka komposer dalam syarikat Luncai Emas, itu memang kerja saya selama lebih 20 tahun dalam industri penciptaan lagu," katanya.

Jelasnya beliau menyedari lagu bercorak puisi kurang khalayak pendengar namun beliau akan terus menantikan lagu-lagu puisi khususnya dari komposer di kalangan muka baharu.

"Lagu puisi bergantung kepada suasana peminat puisi dan perkembangan puisi di negara kita," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, beliau menyatakan ada mencipta lagu untuk penyanyi rock Amy (Search) dan Ella setelah setelah mencipta lagu 'Di Pintu Mu' ketika malam kemuncak Akademi Fantasia (AF) tahun lalu.

Lagu terbabit dibawakan oleh Juara AF 2014 iaitu Mhd Firman Basir.