TIDAK puas menonton Didi & Friends di televisyen?

Berita baik untuk peminat Didi & Friends!

Bermula 10 Mac, buat julung kalinya Konsert Hora Horey Didi & Friends akan menemui peminat-peminat cilik di 34 pawagam TGV seluruh negara.

Lebih menarik, ia diserikan dengan penampilan istimewa penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memegang watak “Mak Iti”.

Selain itu, turut menyumbang suara penyanyi Tomok.

Konsert Hora Horey Didi & Friends ditayangkan selama 80 minit.

Kolaborasi Astro dan Digital Durian ini mempersembahkan 30 lagu termasuk 17 lagu baharu.

Menurut pengarahnya yang juga pengasas Digital Durian, Sinan Ismail, filem animasi itu juga mengambil masa lebih setahun.

“Sempena cuti sekolah ini kita mahu ibu bapa dan anak mereka bersama-sama menonton wayang dan mencipta momen bersama,” katanya semasa Majlis Pratonton dan sidang media di TGV di Sunway Velocity Mall di sini hari ini.

Malah, jika biasanya kanak-kanak disuruh diam kalau menonton wayang bersama orang dewasa, kelainan dibawakan Konsert Hora Horey Didi & Friends adalah lebih ceria dan membuatkan seisi keluarga menyanyi dan menari bersama.

“Memang kita mahu wujudkan suasana ceria dengan kanak-kanak menyanyi, menari semasa menonton di pawagam,” katanya lagi.

Pemilihan Siti Nurhaliza sebagai "Mak Iti" juga bertepatan memandangkan penyanyi nombor satu negara itu dilihat mempunyai aura keibuan selain kelunakan suaranya menyanyikan.

Siti Nurhaliza menyanyikan lagu "Oh Nana" bersama watak comel Nana.

Dalam pada itu, Naib Presiden Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata Astro tidak meletakkan sasaran kutipan filem animasi itu, sebaliknya ia sebagai usaha mewujudkan kelainan dan suasana ceria bersama keluarga di pawagam.

"Kami tidak letak sasaran sebenarnya, kami cuma harap penonton terhibur dan memberi maklum balas positif. Yang penting anak-anak gembira.

“Mungkin selepas ini kita akan siarkan Konsert Hora Horrey Didi & Friends ini dalam platform televisyen iaitu di Astro First,” ujarnya.

Siri jelajah konsert "Hora Horey Didi & Friends" akan diadakan di Tebrau City, Johor pada 13 hingga 25 Mac dan Sunway Velocity Mall pada 15 hingga 25 Mac.