Ketika semua anggota Dewa 19 berkumpul dan beraksi di atas pentas Stadium Malawati, Shah Alam, pengasas dan ketua kumpulan tersebut Ahmad Dhani Prasetyo terkurung dan terhukum di penjara Cipinang, Jakarta Timur.

Pada 28 Januari lalu, Majlis Hakim Mahkamah Negeri (PN) Jakarta Selatan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Ahmad Dhani ekoran tiga entri beliau di laman Twitter yang berbaur hasutan dan membangkitkan rasa kebencian terhadap individu dan kumpulan.

Serentak itu, Majlis Hakim memerintahkan Ahmad Dhani ditahan. Dengan penahanan itu, tempat Ahmad Dhani sebagai pemain keyboard diisi anaknya Abdul Qodir Jaelani (Dul Jaelani).

Konsert Reunion Dewa 19 Live dimulakan dengan persembahan kumpulan Andra and The Backbone dengan rangkain lagu-lagu mereka yang pernah memikat halwa telinga peminat muzik tempatan. Andra juga merupakan pemain gitar utama Dewa 19.

Andra and The Backbone memberikan sembilan lagu dengan Musnah sebagai lagu pertama dan Hitamku menutup persembahan kumpulan ini.

Selepas Andra menamatkan persembahannya, Baladewa dan Baladewi (nama untuk peminat Dewa 19) makin tidak senang duduk dan tiba saatnya, tepat pukul 9.40 Malam Dewa 19 dengan penampilan Ari Lasso mengambil alih pentas dengan lagu Restoe Bumi.

Ari Lasso mendendangkan 10 buah lagu sebelum Once mengambil alih pentas dengan lagu Pangeran Cinta.

Lagu Hadapi Dengan Senyum dan Cintakan Membawamu Kembali didedikasi khusus untuk Ahmad Dhani dan ketika dua lagu ini dinyanyikan oleh Ari Lasso, air mata Dul Jaelani pun tumpah.


Sebelum dua lagu itu dipersembahkan, Baladewa dan Baladewi di Malaysia disajikan dengan video ucapan ringkas Ahmad Dhani yang memohon agar mendoakan dirinya.

Once turut mengajak penonton mengingati Ahmad Dhani dengan menjemput Dul Jaelani mendendangkan lagu Angin.

Dewa 19 menutup tirai persembahan dengan persembahan duet Ari Lasso dan Once. Antara lagu yang dipersembahkan ialah Kangen dan Separuh Nafas.

Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman mercemar duli hadir menonton konsert ini disamping Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Konsert Reunion Dewa 19 Live yang menghimpunkan 7,000 Baladewa dan Baladewi ini dibawakan oleh Nizra Production.