Berita  |  Hiburan

Konsert solo Sheila Majid bakal gegar Stadium Negara pada Ogos

Konsert solo Sheila Majid bakal gegar Stadium Negara pada Ogos
Shiela Majid pada majlis pelancaran album terbaharunya berjudul 'Boneka' di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini. Astro AWANI / Hafida Samat
KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Sheila Majid bakal menggegarkan Stadium Negara dalam konsert solo berjudul, 'Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017' pada 5 Ogos depan.

Kali terakhir Sheila menjayakan konsert solo adalah pada tujuh tahun lalu di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Sheila pernah beraksi di pentas mega Stadium Negara dalam konsert pertamanya, 'Legenda', pada tahun 1991.

"Sudah lama saya menantikan kesempatan untuk mementaskan sebuah konsert buat peminat-peminat saya. Saya suah lama bersedia, jika ada yang mahu saya beraksi dalam konsert bulan hadapan, I'm ready (saya bersedia)," kata isteri kepada pengarah muzik dan pemuzik terkenal Datuk Hashridz Murshim Hassim atau dikenali sebagai Acis. 

Tahun lalu, Sheila menjayakan konsert solo beliau di Jakarta dan Singapura. Beliau mengakui terkilan kerana tidak ramai peminatnya yang mampu untuk terbang ke kedua-dua negara ini untuk menonton konsertnya. 

"Peminat-peminat saya terdiri dari pelbagai kaum. Dan tidak semua mampu untuk terbang ke sana untuk menonton konsert saya. Jadi, saya mahu memberikan yang terbaik untuk konsert di Stadium Negara. Ini adalah hadiah saya buat peminat-peminat saya yang tidak pernah lelah menyokong karier saya selama 32 tahun," tambahnya.
Konsert ini dianjurkan oleh IME Malaysia dan diterbitkan oleh More Entertainment. Konsert ini bakal menggabungkan pemuzik terhebat di bawah arahan Mac Chew.

Hari ini turut menyaksikan pelancaran album terbaharunya berjudul 'Boneka'.

'Boneka' memuatkan 10 buah lagu baharu yang diterajui Sheila sendiri.

"Saya pernah bernaung di bawah beberapa buah syarikat rakaman sebelum. Saya terpaksa terikat kepada syarat-syarat tertentu, terlalu banyak kekangan yang dikenakan syarikat. Jadi, untuk 'Boneka' saya mengambil keputusan untuk menerbitkannya. Saya lebih bebas memilih yang terbaik untuk album ini," kata Sheila. 

Sheila cukup sinonim sebagai seorang 'visionary' yang sering menyuntik kelainan setiap kali beliau muncul dengan buah tangan baharu. 

Bagi dirinya, muzik mampu menyatukan dua bangsa. 

Oleh itu, tidak memeranjatkan bagi 'Boneka', Sheila, 52 tahun turut mengundang karyawan seni dari Indonesia untuk menyumbangkan kreativiti mereka. 

Komposer Tohpati dan penerbit muzik, Irwan Simanjuntak dari Indonesia diberi penghormatan untuk memberi sentuhan magis mereka dalam 'Boneka'.

"I'm an old school and I'm all about melodies. Saya menerima lebih 100 buah lagu baharu untuk album ini. Namun, kebanyakannya mempunyai 'beats' yang tidak serasi dengan saya. Jadi, 10 lagu dalam 'Boneka' ini ialah a representation of Sheila Majid," tambahnya.

Berbicara tentang muzik, Sheila menyuarakan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang cuba menjejaskan reputasi industri muzik tempatan. 

"Ada yang cakap muzik itu jahat. Apa yang jahatnya? Yang bercakap-cakap begitu kebanyakannya di laman sosial. Cuba cermin diri anda dahulu sebelum hendak bersuara. Kalau anda kaitkan muzik dengan dadah dan minuman keras contohnya, itu memang salah," tegasnya. 

"Bukankah muzik itu boleh menyatukan masyarakat, boleh melembutkan hati. Apa yang jahatnya tentang itu? 

Menurut Sheila, persepsi negatif itu hanya akan merosakkan industri muzik tanah air.