Agak lama sebenarnya peminat muzik tanah air tidak mendengar khabar tentang kumpulan Spider yang pernah popular di era lewat 90an, suatu ketika dahulu.

Kumpulan yang pernah popular dengan lagu Aladin, Kekal, Kasih Latifah, Kau Saja dan Laukku Cukup Masin ini kali terakhir pernah mengadakan persembahan atau 'show case' di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), dua tahun lalu.

Namun, kali ini ada berita gembira buat peminat mereka yang mungkin sudah merindukan persembahan Spider apabila kumpulan bakal tampil dengan persembahan slot 'Sunday Night Live' yang akan berlangsung di Hard Rock Café Kuala Lumpur pada 8 Mac depan.

Selepas sekian lama tentunya kumpulan yang dianggap anak didik Datuk M. Nasir ini akan menjanjikan persembahan yang istimewa, maklumlah sudah lama mereka tidak berjumpa peminat sendiri.

Vokalis Tam ketika dihubungi Astro AWANI turut mengakui mereka berasa rindu untuk bertemu dengan peminat lama.

Poster persembahan 'Sunday Night Live' oleh kumpulan Spider.

“Spider sebenarnya tetap ada lagi, cuma ketika ini masing-masing ada komitmen. Tetapi, Alhamdulillah kami masih lagi mengadakan persembahan walaupun tidaklah bersakala besar seperti dahulu.

"Sehingga kini, peminat Spider masih lagi mengikuti perkembangan kami sampai hari ini dan kami harap mereka semua akan hadir dalam persembahan kami di HRCKL pada Mac nanti,” katanya.

Menurut Tam, pada persembahan itu nanti beliau dan anggota lain sudah menyediakan lebih 20 lagu yang bakal dipersembahkan sepanjang dua jam pada malam tersebut.

“Agak istimewa sebenarnya untuk peminat kami pada malam itu kerana banyak lagu yang jarang dimainkan di radio sebelum ini akan turut kami persembahkan pada malam itu nanti.

"Ia adalah khas buat peminat kami dan kami akan berikan persembahan yang terbaik kepada mereka, itu janji kami," kata Tam lagi.

Memang tidak dinafikan Spider merupakan antara kumpulan musik berentak Ska yang mantap persembahannya sejak dari dulu lagi.

Malah, lagu mereka sangat berkualiti sehingga pernah merangkul anugerah album terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2012 selain memenangi Anugerah Juara Lagu menerusi lagu Relaku Pujuk pada tahun yang sama.

Jadi kepada peminat tegar mereka, inilah masa terbaik untuk mengubat kerinduan sejak sekian lama untuk melihat persembahan mereka secara ‘live’ pada malam tersebut.