PERSONALITI serba boleh dan versatil, Ifa Raziah menafikan sekeras-kerasnya dia membuat prosedur sedut lemak untuk mendapatkan bentuk badan seperti sekarang.

"Saya kurus sebab sedut lemak? Alahai...saya belum buat lagilah! Tapi nawaitu tu ada...Itu yang semua orang nak dengar saya cakapkan?

"Selagi saya bercakap benda betul, orang tak nak percaya. Kenapa? Nak kena keluar benda ‘panas’ dari mulut Ifa Raziah baru orang puas hati ke?,” katanya dalam nada gurauan kepada Astro Gempak.

Kata Ifa lagi, sebelum ini ramai sudah tahu tentang rutin diet yang dipraktikkan iaitu, makan telur sebanyak 10 biji sehari.

Bagaimanapun kata Ifa dia mulai muak selepas seminggu mengamalkan diet tersebut.

"Tak boleh tahanlah makan telur hari-hari. Sebab itu saya ‘kamikaze’ diet cara saya sendiri iaitu dengan menolak semua makanan pepejal dan minum air sahaja.

"Saya tidak nafikan dimarahi doktor kerana diet rejim saya ini, tetapi demi memenuhi tuntutan kerjaya saya ‘langgar’ sahaja.

"Saya tak sarankan orang luar ikut cara diet saya ini, tapi ada sesuatu bakal saya kongsikan kepada peminat di luar sana tentang penurunan berat badan saya ini.

"Ada sesuatu yang saya amalkan, tunggu Januari nanti saya akan kongsikan kepada semua," jawabnya jujur.

Ifa ditemui ketika memperkenalkan produk keluarannya sendiri, Diva’s Secret di Hotel Concorde Shah Alam baru-baru ini.

Produk kosmetik dan kecantikan Diva’s Secret terdiri daripada pencuci muka, face mist, dua pilihan bulu mata dan gincu jenis matte yang didatangkan dalam lapan pilihan warna.

Foto: Instagram Ifa Raziah