Tutup

Kylie Jenner sambut hari lahir atas kapal Equanimity

Kylie Jenner sambut hari lahir atas kapal Equanimity
Equanimity kini dinamakan sebagai Tranquility. Gambar kecil: Kylie Jenner.
JUTAWAN, model dan bintang realiti televisyen dari Amerika Syarikat, Kylie Jenner akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-22 di atas kapal Equanimity akhir bulan ini.

Memetik laporan portal berita antarabangsa, TMZ, Kylie yang juga pengasas Kylie Cosmetics menyewa kapal tersebut yang kini dijenamakan semula sebagai Tranquility.

Kylie menyambut hari lahirnya 10 Ogos ini.

Portal itu melaporkan, kapal tersebut boleh menampung kira-kira 22 tetamu dan 29 kru namun tidak dimaklumkan siapa yang akan berlayar bersama Kylie pada majlis tersebut.

Difahamkan caj dikenakan untuk pelayaran di atas kapal tersebut ialah sekitar AS$1.2 juta atau bersamaan RM5.1 juta seminggu.
Kapal Equanimity sebelum ini adalah milik individu kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low sebelum dirampas oleh kerajaan Malaysia kerana kapal tersebut merupakan salah satu barang mewah yang disita sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pengubahan wang haram dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kapal mewah sepanjang 91.5 meter itu turut dilengkapi kolam renang dan pad pendaratan helikopter.

Pada Februari 2018, kapal tersebut ditahan di Bali oleh pihak berkuasa Indonesia atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas skandal 1MDB.

BACA: Bidaan Equanimity perlu bayar deposit RM4.18 juta
BACA: 'Tindakan sita Equanimity sah, ikut undang-undang'

BACA: 'Equanimity' disita ikut undang-undang - AG

Kerajaan Indonesia kemudian menyerahkan kapal itu ke Malaysia pada bulan Ogos tahun lalu.

Pada April lalu, Genting Malaysia Berhad membeli kapal mewah itu dengan harga AS$126 juta (RM514.14 juta).

Kapal itu, yang dinamakan semula Tranquility membuat pelayaran pertama pada 5 Jun dari pangkalan luar pesisir Loyang di Singapura dan tiba di Colombo pada 8 Jun.