Pelakon Lana Nodin dan atlet skuad bola tampar Olimpik Amerika, David McKienzie selamat diijab kabul dengan sekali lafaz pada jam 10.35 pagi tadi.

Majlis pernikahan David yang berdarah campuran Amerika–Filipina (sebelah ibu) dan Lana berlangsung penuh gemilang di Restoran Kim Ma, Hotel Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan.

David atau nama Islamnya Mohd Daud McKienzie dan Lana dinikahkan oleh Pendaftar Perkahwinan Masjid Al Islah, Mohd Ramizi Ramli dan berwalikan bapa Lana, Hasan Nodin Mohd Zaidi dengan pemberian mas kahwin sebanyak US$10,000 (kira-kira RM36,000).

David, 35, yang memeluk agama Islam pada 5 Disember tahun lalu membawa lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.

Semalam telah diadakan majlis berinai dan majlis resepsi kedua mempelai akan diadakan pada malam ini di hotel yang sama.

Sebelum ini, Lana, 35, atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin turut mengumumkan akan mengikut David ke Amerika Syarikat selepas berkahwin.

Foto-foto perkahwinan Lana dan David turut dikongsikan di laman rasmi Instagram mereka.