Berita  |  Hiburan

Langit Cinta: Apa erti 'penantian' untuk seseorang yang setia?

Langit Cinta: Apa erti 'penantian' untuk seseorang yang setia?
Nur Fazura sebagai Khadeja, tunjang utama filem Langit Cinta
“Selagi aku bernafas, aku tak akan berhenti untuk terus menanti dia pulang.”

Itulah antara dialog yang menjadi pegangan utuh watak utama filem Langit Cinta iaitu Khadeja.

Saya mula mengenali nama Osman Ali dari sebuah karya kasar berjudul Bukak Api (2000). Selepas itu Osman menyambung lagi kisah wanita kental dalam filem Malaikat Di Jendela (2004) yang juga dibikin dalam jalur filem berat.

Kemudian, beliau menjejakkan kakinya ke kancah dunia filem komersial bermula dengan Puaka Tebing Biru (2007) sebuah filem seram dan Anak Halal (2007) sebuah filem yang mirip kisah gabungan konflik sekumpulan remaja di Kuala Lumpur umpama Bukak Api tetapi dalam versi yang lebih manja.

Tahun-tahun berikutnya, karya-karya Osman semakin lembut dan berwarna-warni dengan penerbitan filem komedi romantik Cun! (2011) dan pukulan pecah panggung terlaku filem Ombak Rindu (2011) yang melonjakkan namanya sebagai seorang pengarah filem ‘air mata’.

Namun begitu, filem-filem terkemudian bikinan Osman seolah tercari-cari hendak terus ke komersial atau undur semula ke filem berat? Jiwa Taiko (2012) sekali lagi cuba mengulangi garapan Anak Halal manakala Sejoli (2014) Osman mengulangi acuan filem Cun! Sementara itu, filem Pilot Café (2015) ialah pengulangan formula Ombak Rindu, sebuah adaptasi novel cinta.
Secara peribadi, saya rasakan Osman sudah mencuba sedaya-upaya sesuatu yang lain dari karya sebelumnya melalui filem muzikal Sinaran (2015) dan filem seram thriller keras Jwanita (2015) sehingga diklasifikasikan 18 oleh LPF. Tetapi filem-filem itu masih tidak berjaya memecahkan jualan tiket milik rekod peribadinya sendiri melalui Ombak Rindu dahulu.

Langit Cinta

Januari 2016, Osman kembali dengan sebuah filem cinta ‘air mata’ berjudul Langit Cinta yang agak seiras jalur cerita sebuah novel kisah cinta tetapi ia bukanlah dari adaptasi dari mana-mana novel komersial. Malahan skrip asal filem ini pula yang diterbalikkan, yakni diadaptasi ke novel garapan novelis Damya Hanna.

Filem kali ini terbitan Astro Shaw Sdn. Bhd. yang mempersembahkan bersama syarikat Osman iaitu Nuansa Sdn. Bhd. sudah tentu menjanjikan gerak gempur promosi yang lebih hebat dan meluas.

Langit Cinta secara ringkasnya mengisahkan tunjang utamanya, Khadeja (Nur Fazura) seorang gadis yang sangat kuat berpegang kepada prinsip dan adat ketimuran turun-temurun dari arwah ayah dan ibunya yang buta, Mak Piah (lakonan mantap primadona Fauziah Datuk Ahmad Daud).

Langit Cinta berpentaskan asas sebuah drama cinta dengan persoalan iaitu ‘apa yang akan menghalang cinta mereka’?


Analisis AWANI: Langit Cinta buka tirai 2016

Ia mengacuankan naratif cinta terhalang antara dua status ekonomi keluarga, cinta tiga segi serta tekapan kisah ‘Romeo-Juliet’ yang dikreatifkan dimana konflik besar yang menghalang cinta pasangan kekasih Khadeja dan Alif (Keith Foo) ialah dari penjaga sebelah pasangan lelaki, iaitu Datuk Affendi ( Datuk Jalaluddin Hassan). Filem ini sememangnya klise dari segi bentuk keserupaan plot yang sudah berkali-kali dibikin dalam perfileman tempatan terutamanya sejak populariti filem Antara Dua Darjat (1960).

Sebenarnya itu tidak menjadi apa-apa kejanggalan dalam pembikinan filem cinta sebegini kerana Osman ada ‘tanda tangan’nya sendiri semenjak filem Bukak Api lagi iaitu beliau akan menyelinapkan elemen feminisme yang hampir sama iaitu watak wanita-wanita kental dan tabah dalam apa genre sekali pun filem bikinannya, sama ada drama, komedi, seram, aksi atau muzikal. Osman juga secara halus seringkali menampilkan perwatakan gadis desa atau kota yang terpencil atau terpinggir namun sebenarnya berjiwa besar dan berani.


Tekanan untuk jayakan setiap babak

Seperti kisah-kisah filem arahan Osman terdahulu, Langit Cinta juga dimunculkan sub-watak orang ke-3 yang sama penting, sama kuat, sama elok, sama padan dengan kekasih Khadeja yang akan bersaing dengan Alif  iaitu watak Budiman (Farid Kamil).

Siti Saleha
Begitu juga dengan menampilkan watak Suzana (Siti Saleha) yang berada di tengah-tengah kemelut tetapi bukan watak antagonis yang menjadi gangguan malahan seolah berhak juga memiliki Alif.


Siti Saleha berdebar

Osman akan mendesak pilihan watak utamanya sekali gus pilihan penonton untuk merasa dilema semasa tontonan di pertengahan cerita menuju ke penghujung filem ini. Ia merupakan antara nilai hiburan yang mampu mencetus keseronokan tontonan filem Langit Cinta ini. 


Fazura kongsi cabaran waktu penggambaran

Nilai produksi yang begitu dicermati oleh Osman dan kru bagi setiap pembikinan filem-filemnya ialah pemilihan lokasi-lokasi penggambaran. Kali ini Osman memilih Pulau Tuba, Langkawi sebagai latar dan pentas ceritanya yang begitu indah dan bersulam baik dengan setiap babak dan perwatakan. 

Langit Cinta sememangnya ialah sebuah filem bertih jagung yang ringan dan santai tetapi disulami turun-naik konflik ala filem Hindustan yang pasti mengukir senyum, menimbul tawa dan mengundang gundah-gulana dari permainan emosi penonton di sepanjang penceritaannya.


Farid Kamil terpaksa gelapkan kulit untuk 'Langit Cinta'

Ini filem untuk anda yang sedang dilamun cinta atau sedang tercari-cari erti kasih sejati.

Langit Cinta juga untuk pasangan suami-isteri dan ibu bapa yang menjawab kenapa anda saling sayang-menyayangi.

Berapa lama sebenar-benarnya maksud ‘penantian’ untuk seseorang yang setia?

Langit Cinta ada jawapannya di pawagam tempatan mulai 7 Januari 2016.