Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Lebih 30 album 70an, 80an diterbit semula sempena Hari Malaysia

Lebih 30 album 70an, 80an diterbit semula sempena Hari Malaysia
Album yang diterbitkan semula EMI dan Universal dijual pada harga RM16.90 sebuah
KUALA LUMPUR: EMI Malaysia dan Universal Music Malaysia dengan kerjasama Speedy Video telah menerbitkan semula 32 album sepanjang zaman yang pernah popular sekitar era 70an dan 80an sempena meraikan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Antaranya ialah album Tan Sri P. Ramlee, Biduanita Saloma, Datuk Sharifah Aini, Datuk Ahmad Jais, Uji Rashid, Datuk DJ Dave, dan Black Dog Bone.

Album ini adalah antara yang pernah merangkul pelbagai anugerah dan penjualan terbanyak.

Ia diterbitkan semula dalam bentuk CD dengan format terkini, 24-bit mastering.
30 album malar segar
32 album yang diterbitkan semula EMI dan Universal.



Menurut Pengurus Operasi Domestik Universal Malaysia, Mujahid Abd Wahab, sekitar tahun 60an sehingga 90an, EMI terus unggul sebagai label yang paling aktif dalam menghasilkan album-album yang berkualiti dan popular.
“Proses rakaman album lama adalah lebih jujur dan segar kerana kesemua alat muzik dimain dan dirakamkan secara langsung di studio.

"Nyanyian juga lebih asli kerana tiada langsung teknik atau alat seperti auto-tune untuk membetulkan nyanyian yang salah,” jelas Mujahid lagi.

Mujahid turut menerangkan mengenai teknologi mastering 24-bit yang merupakan antara teknologi pemprosesan digital terkini.

“CD yang diterbitkan dengan teknologi 24-bit mastering mempunyai bunyian yang lebih besar dan lebih enak didengar. Buat pendengar biasa, barangkali mereka tidak dapat dengar perbezaannya. Namun jika mereka benar-benar menghayati, serta mempunyai sistem audio yang baik, pasti dapat menilai perubahannya,” kata Muhajid lagi.

Setiap album yang memuatkan hampir 16 buah lagu ini dijual pada harga RM16.90 dan boleh dibeli di semua rangkaian kedai Speedy Video.