INSIDEN banjir yang melanda beberapa kawasan di Thailand kebelakangan ini cukup menyentuh hati masyarakat, terutama daripada kalangan warganya.

Terbaharu, ahli kumpulan Blackpink, Lisa tidak ketinggalan melakukan kebajikan dengan menyalurkan sumbangan buat mangsa banjir di Thailand.

Penyanyi kelahiran Buriram, Thailand itu mendermakan sejumlah wang tunai sebanyak 100,000 baht (kira-kira RM13,700) kepada pelakon Dana Bin Bunleurit untuk meringankan beban mangsa-mangsa banjir.

Salah seorang kenalan Lisa, Koa yang merupakan seorang blogger bertindak memuat naik gambar sekeping cek yang didermakan Lisa dengan kapsyen: "Lisa mahu menghulurkan sedikit sumbangan untuk mangsa banjir dan dia berharap semuanya akan baik-baik sahaja."

Tindakan penyanyi berusia 22 itu mendapat pujian peminatnya sehingga ada yang menggelarkan Lisa sebagai 'malaikat' dan 'Ratu Thailand'.

Dalam pada itu, sebuah kenyataan rasmi Thailand menyebut seramai 20,000 mangsa banjir telah dipindahkan akibat banjir yang mengorbankan 33 nyawa itu.


Lisa yang dibesarkan di Thailand menyertai YG Entertainment pada tahun 2011 selepas mengikuti uji bakat untuk agensi hiburan berkenaan setahun sebelum itu.

Pada tahun 2016, Lisa memulakan kariernya sebagai ahli kumpulan gadis K-pop, Blackpink bersama Jennie, Jisoo dan Rose.

Kumpulan itu mula mendapat tempat di hati peminat selepas lagu mereka hits antaranya Ddu-du Ddu-du dan Kill This Love.