KALI pertama mendapat khabar OlaBola Musical akan kembali untuk musim kedua, dahi penulis berkerut.

Entah kenapa, tiba-tiba sahaja penulis teringat pepatah Inggeris, quit while you're ahead.

Bukan tidak teruja, jauh sekali memandang enteng keupayaan pengarahnya, Puan Sri Tiara Jacquelina, yang sememangnya dikenali ramai sebagai the dream maker.

Pengalaman menyaksikan musim pertamanya cukup manis dalam ingatan penulis. Sebuah pementasan teater muzikal yang hampir tiada cacat celanya.

Sekali lagi naik panggung, mampukah magisnya diulangi?

Koreografi babak perlawanan bola sepak yang kreatif dalam OlaBola Musical. - Enfiniti

Dua jam 30 minit menyaksikan pementasan pembukaannya baru-baru ini, penulis seolah-olah mendapat satu revelation.

OlaBola Musical tidak memerlukan magis. It's magic on its own, hadir dalam bentuk terjemahan emosi luar biasa dan semangat persaudaraan serta patriotisme yang cukup tinggi.

Penulis perlu memberikan setinggi-tinggi pujian buat pemeran watak Chow Kok Keong atau Tauke, Brian Chan. Orangnya masih muda, namun Tauke di tangannya buat kali kedua, sangat cemerlang.

Entah semangat harimau mana yang diserapnya, interpretasi Brian sebagai kapten legenda Harimau Malaya kali ini, pada pandangan penulis, berada di tahap paling tinggi.

Dua tunjang utama OlaBola Musical, Iedil Putra (Rahman) dan Brian Chan (Tauke). - Enfiniti

Siapa sahaja yang tidak sebak menyaksikan betapa kecewanya Tauke tatkala diberitakan Harimau Malaya tidak akan ke Sukan Olimpik 1980, sekalipun menang perlawanan terakhir menentang Korea Selatan.

OlaBola Musical juga tidak mengecewakan daripada aspek persembahan hiburan. Penonton tidak kering gusi dengan gelagat Douglas Lim sebagai Uncle Wong, dan tentu sekali, komentar-komentar mencuit hati daripada Rahman lakonan Iedil Putra.

Siapa sangka, sport commentary boleh jadi begitu menghiburkan? Syabas Iedil, syabas juga buat penulis skrip. Memang brilliant!

Babak di kem tentera menuntut stamina tinggi, dijayakan dengan baik oleh para pelakon. - Enfiniti

Tidak meminggirkan persembahan pelakon-pelakon lain, kerana mereka juga tonggak kejayaan OlaBola Musical, dari watak yang besar sehinggalah yang paling kecil. Pendek kata, tiada kelas dua atau tiga, semuanya berkelas satu.

Penonton juga pastinya akan kagum dengan penghasilan babak-babak perlawanan bola sepak. Jika anda mahu melihat bagaimana replay atau ulang semula, dan slow motion (gerak perlahan) yang biasa disaksikan di kaca televisyen dilakukan di atas pentas secara langsung, inilah masanya.

Saat gemilang Harimau Malaya diraikan. - Enfiniti

Jika sekalipun anda bukan peminat stage performance, percayalah, this is the show you wouldn't want to miss.

OlaBola Musical sedang dipentaskan di Istana Budaya hingga 3 Mac ini.