Demam Star Wars kini bukan sahaja menjangkiti para peminat malah telah mula menular ke carta pecah panggung. Persoalan yang mula timbul: mampukah The Force Awakens menumpaskan Avatar sebagai filem terlaris sepanjang zaman?

Jika sambutan penonton mahu dijadikan ukuran, lihat saja barisan panjang menunggu giliran menonton di Hollywood Boulevard baru-baru ini. Saat tayangan dimulakan, sudah ada peminat yang sudah beratur selama dua minggu untuk menonton.

Menurut Paul Dergarabedian, amat sedikit filem yang mampu menjana rasa teruja seperti Star Wars, lapor BBC. Dergarabedian merupakan penganalisis dari Dentrak, sebuah syarikat yang terkenal dalam mengkaji pola pecah panggung di Hollywood.

“Minggu pembukaan filem ini menjadi bualan paling hangat yang pernah saya lihat berbanding mana-mana filem sebelum ini,” tambah Dergarabedian.

Beliau turut menganggarkan The Force Awakens bakal mengumpul antara 180 sehingga 220 juta dolar — angka yang bakal memecahkan rekod kutipan minggu pembukaan milik Jurassic World berjumlah 208.8 juta dolar, Jun lalu.

Satu lagi petanda bahawa filem ketujuh francais ini bakal memecahkan segala rekod pecah panggung dapat dilihat melalui jualan tiket awal yang mencapai 50 juta dolar, sebelum mana-mana peminat sempat menonton walau sedetik pun filem itu.

Menurut Dergarabedian lagi, kejayaan filem ini akan mempengaruhi dua lagi filem Star Wars iaitu Episode VIII yang bakal ditayangkan pada tahun 2017 dan Episode IX (2019).

“Filem ini telah menyediakan pentas bagi versi masa hadapan francais yang dihidupkan semula ini,” ujar beliau. “Dengan J.J. Abrams sebagai peneraju, saya fikir francais ini berada di tangan yang betul. Dia akan memberi kesan kepada Star Wars seperti apa yang Christopher Nolan buat untuk Batman.”

Setakat ini, hanya ada dua filem yang memecahkan rekod dua bilion dolar kutipan tayangan iaitu Titanic (2.18 bilion) dan Avatar (2.78 bilion), kedua-duanya filem arahan James Cameron.

Seorang lagi penganalisis, Daniel Loria, menganggap The Force Awakens mampu mengambil alih kedudukan Avatar namun dengan beberapa ‘syarat’.

“Untuk mengalahkan Avatar, perlu ada peminat yang menonton Star Wars berkali-kali. Ini mungkin sukar sebab filem ini berhadapan beberapa saingan seperti The Hateful Eight, filem arahan Quentin Tarantino.”