Mantera filem Munafik hanya rekaan, bukan ayat sebenar - Syamsul Yusof

Mantera filem Munafik hanya rekaan, bukan ayat sebenar - Syamsul Yusof
SYAMSUL: Kita jangan taksub atau melampau dalam sesuatu perkara.

PELAKON Syamsul Yusof menafikan dakwaan mengatakan mantera yang sebut dalam satu adegan filem Munafik adalah ayat sebenar.

Astro Gempak melaporkan, dakwaan yang dilakukan oleh seorang pengguna Facebook itu telah menjadi viral sehingga ramai yang bertanyakan hal tersebut melalui akaun Instagram (IG) Syamsul sendiri.

Syamsul yang juga merupakan pengarah filem Munafik tampil memberi penjelasan mengenai perkara itu dan mengatakan ayat tersebut hanyalah rekaan semata-mata.

Selain itu, Syamsul juga meminta supaya penonton tidak terlalu taksub dengan sesuatu perkara yang tidak diketahui kebenarannya.

“Tidak. Itu bukan mantera atau bacaan betul atau sahih. Hanya rekaan semata. Cuma dilaungkan dalam bahasa Arab.

"Sebagai Muslim kita jangan taksub atau melampau dengan sesuatu,” jelas Syamsul di ruangan komen Instagram miliknya.

Aduan tentang mantera filem Munafik daripada seorang pengguna media sosial hingga menjadi viral. - Foto Astro Gempak











Mantera merujuk kepada kata-kata atau kalimat tertentu yang dibaca atau diucapkan untuk mendapatkan kesaktian atau menyembuhkan penyakit.

Dalam masyarakat tradisional Asia, tanpa mengira latar bangsa atau agama, mantera yang lazimnya didapatkan dari dunia perbomohan atau perdukunan banyak digunakan untuk mengiringi urusan harian antaranya hal keselamatan, ikatan perhubungan, perubatan, seni bela diri malah ilmu kebatinan.

Agama Islam secara jelas melarang penggunaan mantera atau yang seumpamanya, lebih-lebih lagi jika ia disertai ungkapan dan pemujaan yang mencurigakan hingga mencetus kebergantungan seseorang kepada sesuatu kuasa lain selain Allah.

Bagi kes viral seperti yang melibatkan adegan dalam filem Munafik, Syamsul telahpun memberikan jawapan yang diharapkan dapat memberi penjelasan kepada pengikut akaun media sosialnya dan juga penonton filem itu sendiri.

Ia dibuat atas lesen kreatif atas nama hiburan semata-mata, dan seperti kata Syamsul, 'kita tidak perlu taksub atau melampau' dalam sesuatu perkara.