HARI pertama persekolahan bagi pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan Seberang Dungun dan Sekolah Menengah Pulau Serai, Dungun, Terengganu hari ini diceriakan dengan kehadiran personaliti dan pengacara tersohor tanah air, Datuk Aznil Nawawi.

Kunjungan beliau atas kapasiti sebagai Pengerusi Yayasan Pesona yang diasaskan selebriti itu sebagai memenuhi matlamatnya untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan berhubung pembinaan sahsiah diri bersama pelajar-pelajar sekolah.

Menurut Aznil, beliau sangat teruja kerana berpeluang mendekati pelajar-pelajar di kedua-dua sekolah berkenaan terutamanya anak-anak berusia tujuh tahun yang pertama kali ke sekolah.

Dalam sesi perkongsian ilmu dan pengalaman itu, Aznil memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar berkenaan mengenai kepentingan memiliki daya keyakinan dan percaya pada diri sendiri.

"Bersesuaian dengan misi Yayasan Pesona, kunjungan saya ke kedua-dua sekolah hari ini ialah untuk mengajak anak-anak untuk menikmati kegembiraan ke sekolah kerana di sini (sekolah) kita bukan hanya menimba ilmu, bahkan juga keyakinan diri.

"Dalam masa sama, saya serapkan kebolehan berkomunikasi, menekankan pada mereka kepentingan berani memberi pendapat, bertanya dan menjawab soalan. Paling utama juga saya tekankan kepada pelajar-pelajar apa sahaja yang mahu dilakukan harus bermula hari ini, bukan esok, bukan lusa atau bukan hari-hari akan datang.

"Setiap perkara baik harus dilakukan segera, jangan sekali kita tangguhkan. Saya nasihatkan pelajar-pelajar, jangan takut untuk mencuba perkara-perkara yang baik kerana setiap kejayaan dan kegagalan bermula denga mencuba," kata Aznil berkongsi pengalaman dengan Astro AWANI.

AZNIL NAWAWI atau Paknil memberi motivasi kepada pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Seberang Dungun.

Di Sekolah Kebangsaan Seberang Dungun, Aznil atau lebih mesra disapa Paknil beramah mesra dengan 500 pelajar sementara di Sekolah Menengah Pulau Serai pula, seramai 800 pelajar termasuk guru mendengar perkongsian motivasinya.

Misi Aznil menjelajah sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan merupakan pengisian dalam aktviti Speaking Nation anjuran Yayasan Pesona.

Pada 2018, Yayasan Pesona telah memulakan program Speaking Nation dengan menjelajah ke beberapa buah sekolah termasuk di Johor dan Perak.

BEBERAPA pelajar Sekolah Menengah Pulau Serai, Dungun, Terengganu berkongsi pengalaman mereka dengan Aznil Nawawi.
Speaking Nation merupakan aspirasi Aznil yang sudah lama dirancang beliau sebagai cara beliau membayar 'budi' masyarakat yang selama ini banyak memberi inspirasi dan menjadi tulang belakang kejayaan kerjaya seninya.

Bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan pula, jelas Aznil, memberi kesempatan kepadanya untuk bertemu dan berkongsi pengetahuan dengan angkatan generasi muda yang akan menjadi pelapis akan datang.

Kata pengacara yang sangat sinonim dengan program realiti Akademi Fantasia itu, beliau sangat gembira kerana Kementerian Pendidikan yakin dan bersedia bekerjasama dengannya dalam menjayakan sesi perkongsian ilmu dengan pelajar-pelajar sekolah.

"Program ini juga seiring dengan matlamat untuk mendedahkan pelajar-pelajar mengenai kepentingan membina kemahiran diri," ujar Aznil lagi.

Selepas Dungun, Terengganu, Aznil akan berkunjung pula ke sekolah di Kuantan, Pahang pada Rabu juga untuk menjalankan misi yang sama.