Pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak akan teragak-agak untuk menyekat laman yang menjual produk-produk cetak rompak.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak SKMM memaklumkan tindakan itu akan dilaksanakan selepas mendapat makluman dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Setiap tindakan memerlukan siasatan teknikal yang akan dijalankan oleh pihak MCMC. Pihak kami akan terus menyedarkan orang ramai agar menjadi pengguna internet yang bijaksana seperti tidak membeli produk atau kandungan cetak rompak," kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini, laman e-dagang, Shopee dikesan menjual kandungan cetak rompak berupa filem-filem terbitan syarikat-syarikat tempatan.

BACA: Finas kecewa platform e-dagang jual filem cetak rompak, 'Keluarga Iskandar' antara mangsanya

SKMM memaklumkan tindakan itu akan dilaksanakan selepas mendapat makluman dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Antara filem yang dikesan dijual di laman tersebut ialah Ada Apa Dengan Dosa dan Keluarga Iskandar The Movie.

Astro AWANI masih menunggu maklum balas dari pihak Shopee berhubung perkara ini.

Selepas dihubungi Astro AWANI, pautan yang memaparkan jualan filem Ada Apa Dengan Dosa dan Keluarga Iskandar The Movie telah diturunkan dari platform Shopee.

Pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak akan teragak-agak untuk menyekat laman yang menjual produk-produk cetak rompak.  Dalam satu kenyataan, pihak SKMM memaklumkan tindakan itu akan dilaksanakan selepas mendapat makluman dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Dalam pada itu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sedang membuat siasatan lanjut berhubung kegiatan penjualan filem-filem tempatan yang dicetak rompak di platform e-dagang.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Nadzri menjelaskan pihaknya akan memberi tumpuan pihak e-dagang dan juga mereka yang menjual filem-filem cetak rompak di platform terbabit.