PELAWAK Jihan Muse menganggap kemenangannya di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AAA) 2019 hari ini sebagai satu pencapaian terbesar dalam kariernya sepanjang bergelar anak seni.

Jihan telah memenangi anugerah Persembahan Komedi Terbaik AAA 2019 menerusi telefilem Keluarga Baha Don yang disiarkan di saluran perkhidmatan penstriman Viu.

Ketika dihubungi Gempak, Jihan akui terkejut apabila diberitahu pihak pengurusan dia memenangi anugerah yang disertai oleh pembikin karya dan bakat seluruh Asia Pasifik itu, hari ini.

“Tidak tergambar perasaan saya ketika syarikat pengurusan beritahu tentang perkara tersebut. Apa yang boleh saya katakan ini adalah pencapaian terbesar saya sepanjang bergelar anak seni.

“Syukur kepada Allah kerana rezeki ini dan sudah tentu kemenangan ini akan dijadikan pembakar semangat untuk saya terus memberikan yang terbaik dalam karier seni saya,” katanya.

Tambah Jihan lagi, dia sebenarnya tidak tahu mengenai anugerah tersebut, jauh sekali membayangkan dirinya tercalon dalam anugerah di luar Malaysia.

“Yang sebenarnya saya tidak tahu tentang ‘award’ ini, apatah lagi membayangkan akan tercalon dalam majlis anugerah di luar negara.

“Mungkin ini adalah pulangan jika kita bekerja dengan bersungguh-sungguh serta sayang dengan kerja kita.

“Apabila kita hargai apa yang kita buat dan berikan yang terbaik, Insya-Allah ada hasilnya,” ujarnya.

Sementara itu menerusi sebuah kenyataan, LOL Entertainment memberitahu pemenang dinilai sebagai yang terbaik di negara mereka dalam kategori dipilih. Ada 35 kategori bagi setiap negara yang dipertandingkan.

Pemenang akan mewakili negara masing-masing bersama 15 negara lain pada malam gala yang bakal berlangsung Disember ini.

Anugerah Kreatif Akademi Asia 2019 akan diadakan di bangunan paling bersejarah di Singapura iaitu Teater Victoria.