Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Hans Isaac tidak akan tunduk dengan sebarang desakan yang meminta dirinya melepaskan jawatan.

Bahkan, tegas Hans, dia hanya akan mengundurkan diri sekiranya beliau diarahkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo untuk berbuat demikian.

"Saya tidak tunduk dengan desakan tersebut. Pelantikan saya dilakukan oleh menteri.

"Satu-satunya individu yang boleh memecat saya ialah menteri sendiri," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat Finas, Hulu Kelang, Selangor hari ini.




Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan sekumpulan persatuan penggiat seni tanah air yang mendesaknya melepaskan jawatan sebagai pengerusi Finas.

Desakan tersebut dibuat Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Pertubuhan Industri Kreatif Digital Malaysia (PIKDM), Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) dan Persatuan Sinematografi Malaysia (MYSC) kelmarin.

Mereka mendakwa beliau gagal melaksanakan tanggungjawab dalam membangunkan industri seni tanah air selain dikaitkan dengan beberapa dakwaan salah guna kuasa.

Bagaimanapun, kata Hans, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya tuduhan yang dilemparkan kepadanya itu mencemarkan imej dan reputasinya.

"Saya ini orang berintegriti, saya dibesarkan dalam kehidupan yang penuh disiplin. Saya selalu jujur dengan apa yang saya lakukan.

"Mereka berhak untuk mengatakan apa yang mereka mahu. Namun, jika benda (tuduhan) itu mejejaskan nama saya sebagai individu, saya akan ambil tindakan," katanya.

Dalam pada itu, jelas Hans lagi, isu berkaitan persatuan bukanlah di bawah bidang kuasanya. Sebaliknya, segala masalah berbangkit perlu dikemukakan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

"Saya tidak mempunyai kuasa untuk bercakap dengan persatuan. Apabila melibatkan persatuan, harus pergi kepada CEO.

"Bukan tanggungjawab saya untuk berurusan dengan persatuan melainkan ada permintaan daripada mereka. Cuma setakat ini tiada permintaan daripada mereka yang sampai di atas meja saya," katanya.

Terdahulu, beberapa kontroversi mengaitkan Finas menjadi pertikaian penggiat seni. Antaranya, termasuklah isu cadangan mengawal selia kandungan penstriman berbayar, Netflix dan larangan pelakon muda disolek menjadi tua.

Kemuncak kemelut Finas tercetus apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham kini dikatakan direhatkan secara tiba-tiba selepas dilantik pada 14 Mac lalu.

Hans dilantik sebagai pengerusi Finas berkuatkuasa pada 8 April lalu bagi tempoh dua tahun.