Mesej Mikraj Cinta jadi tumpuan album Unplugged Datuk Siti Nurhaliza

Mesej Mikraj Cinta jadi tumpuan album Unplugged Datuk Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza memberitahu, album Unplugged yang memuatkan 18 buah lagu termasuk tiga lagu baharu merupakan hadiah daripada beliau kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seninya. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Keinginan untuk membawakan lagu berunsur ketuhanan telah menjadi titik-tolak penciptaan lagu Mikraj Cinta yang dimuatkan dalam album terbaharu Datuk Siti Nurhaliza yang berjudul Unplugged.

Lagu yang mengajak pendengar menghayati hubungan antara diri dan Yang Maha Mencipta itu menjadi penyeri dalam buah tangan terbaharu penyanyi tersebut dan ia dimuatkan bersama 15 lagu popular beliau sebelum ini yang disuntik susunan muzik segar.

“Lagu Mikraj Cinta ini telah dihasilkan awal memandangkan saya telah membuat persembahan di Istana Budaya ketika pementasan teater Sirah Junjungan.

“Ketika itu saya telah memandang ke hadapan dan akhirnya membuat keputusan untuk meletakkan lagu ini dalam sebuah album bersama lagu-lagu lain,” ujar beliau mengenai single sempena Ramadan yang disusun oleh Hafiz Hamidun itu.
Penyanyi kesayangan negara itu ditemui dalam sidang media sempena pelancaran album tersebut dan majlis berbuka puasa bersama artis-artis Universal Music di ibu negara pada Rabu.

Pelancaran album Unplugged
Datuk Siti Nurhaliza menerima plak penghargaan daripada Pengarah Urusan Universal Music Sdn Bhd Kenny Ong sempena pelancaran album Unplugged pada Rabu di Kuala Lumpur. - Foto Bernama

Menurut Siti Nurhaliza, beliau gembira mendapat kerjasama Hafiz yang berbakat besar dan sinonim dengan penciptaan lagu-lagu Islamik. Komposer tersebut dikatakan memang menjadi pilihannya dan juga pasukan produksi.

“Lagu Mikraj Cinta ini walau berunsur ketuhanan, ia tidak kedengaran mirip nasyid tetapi lebih kepada sebuah lagu kontemporari yang sesuai dengan konsep album keseluruhannya,” kata beliau yang membuat permintaan khas agar diterapkan bunyi-bunyian biola seperti yang kerap dialun dalam muzik Arab.

Turut dimuatkan dalam album Unplugged adalah dua lagi lagu baharu genre pop berjudul Engkau dan juga Menatap Dalam Mimpi susunan komposer Aubrey Suwito.

Rakaman album Unplugged berkenaan diambil daripada Konsert Unplugged Datuk Siti Nurhaliza yang berlangsung pada 7 April yang lalu.

Seleksi lagu yang dimuatkan dalam album ini merupakan antara lagu-lagu hits beliau sepanjang dua dekad berkecimpung dalam industri hiburan. Hampir kesemua lagu dalam album ini diterbit dan mendapat sentuhan daripada Aubrey.

“Saya memang sejak dulu mengambil tarikh-tarikh yang sangat istimewa dalam penghasilan sesuatu. Contohnya pada awal penglibatan saya dahulu, saya merakamkan album pada bulan Ramadan dan ia dilancarkan pada tarikh ulang tahun kelahiran iaitu pada 11 Januari.

“Kebetulan tarikh pelancaran kali ini setelah genap dua bulan selepas konsert Unplugged dan saya rasa ia sesuai dilancarkan memandangkan orang masih ingat lagi pada persembahan tersebut,” ujar beliau.


Dalam majlis pelancaran tersebut, turut ditayangkan kepada hadirin klip video lagu berkenaan yang telah menjalani penggambaran di pelantar terbuka Menara Kuala Lumpur.

Berdasarkan sambutan menggalakkan di laman sosial, Siti Nurhaliza beranggapan album berbentuk cakera padat (CD) tetap menjadi pilihan peminatnya kerana boleh dijadikan koleksi bersama album-album beliau terdahulu.