Music Rights Malaysia (MRM) mensasarkan untuk meningkatkan jumlah kutipan pendapatan dan royalti yang mengalami penyusutan sejak tahun 2017.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, R.Ramani Ramalingam menjelaskan, penyusutan kutipan itu sebelum ini berlaku disebabkan kelewatan regulatori bagi mendapatkan lesen operasi.

Menurut Ramani, masalah berkenaan bermula apabila MRM tidak diberi lesen untuk beroperasi oleh MyIPO sehingga 1 Ogos 2017 dan sebelum tarikh itu, tiada badan pelesenan yang dibenarkan menjalankan aktiviti pelesenan sejak 1 Januari tahun yang sama.

Ia sekali gus menyebabkan penurunan kutipan MRM sebanyak 53 peratus pada 2017 dan kejatuhan royalti yang diagihkan kepada penulis lirik, penerbit muzik, syarikat rakaman dan artis pada 2018.

"Apa yang MRM sedang cuba buat mitigasi untuk penurunan ini. Dalam sebulan ini kita boleh backdate lesen dari syarikat yang masih mahu bantu dan juga meningkatkan kutipan sedia ada. Katakan tahun 2016 86 juta kita nak tingkatkan lebih dari 100 juta. dari back dated dan bergerak ke hadapan," katanya dalam sidang media

Tambahnya, hasil pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution pada 13 September lalu, sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah kutipan royalti berkenaan.

"Pengerusi MRM, Tun Zaki Azmi mengulangi sokongan MDTCA sementara ahli-ahli lembaga pengarah memberikan sokongannya penuh terhadap MRM," tambahnya lagi.

Sidang media tadi turut dihadiri oleh wakil penggiat muzik termasuk Datuk Norman Halim, Habsah Hassan, Rosmin Darus dan Jaclyn Victor.

Empat badan pelesenan utama di bawah MRM ialah Music Authors Copyright Protection (MACP), Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), dan Performers Rights and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM).

Sementara itu, Pengerusi MACP, Habsah Hassan mahu semua pihak terlibat bersabar dan menunggu sehingga masalah penurunan kutipan MRM berkenaan dapat diselesaikan.

"Saya terkilan ada ahli buat bising di sosial media, maki dan macam makan duit ke, tak benar kita harap ahli bersabar sebab hujung tahun koleksi kita baik dan tahun berikutan baik lagi," ujar beliau.

Katanya, beliau memahami keluhan ahli-ahli MACP yang terdiri daripada lebih 4 ribu komposer, penulis lirik dan penerbit tempatan terhadap penyusutan jumlah royalti yang diperolehi.

Namun, katanya, sebarang aduan sepatutnya disalurkan terus kepada MACP dan bukan melalui media sosial.