SALAH seorang ahli kumpulan Bangtan Boys atau BTS iaitu J-Hope mempunyai hati yang mulia selepas memberikan bantuan derma kepada pelajar sekolah yang sedang memerlukan.

Baru-baru ini, Sekolah Tinggi Perempuan Jeonnam melakukan upacara perasmian sebagai sambutan dengan penerimaan bantuan biasiswa yang disalurkan oleh J-Hope.

Menurut kepada Pejabat Pendidikan Metropolitan Gwangju, J-Hope memberikan sumbangan sebanyak 100 juta won (RM350 ribu) sebagai bantuan biasiswa menerusi Ibu Pejabat KoreaFund di Gwangju kepada Akademi Choontae.

Akademi Choontae yang juga merupakan yayasan pendidikan bagi sekolah tersebut memberitahu bahawa mereka memutuskan untuk menggunakan bantuan tersebut sebagai bantuan kepada Sekolah Tinggi Perempuan Jeonnam.

Mereka (Akademi Choontae) juga mendedahkan bahawa bantuan wang tersebut yang berjumlah 500 ribu won (RM1748) akan dibahagikan kepada seramai 10 orang pelajar setiap tahun.

Sewaktu majlis perasmian tersebut, seramai 10 pelajar yang berasal dari keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai keputusan cemerlang di dalam pelajaran telah menerima bantuan biasiswa itu.

Salah seorang daripada pelajar yang menerima biasiswa J-Hope memberitahu, “Saya akan fokus di dalam pelajaran saya dan selepas mendapat tempat kerja di institusi swasta, saya juga berhasrat untuk menyumbang biasiswa kepada ‘junior’ saya di sekolah.”

Disember lalu, J-Hope menderma 150 juta won (RM525 ribu) kepada ChildFund Korea dan menyumbangkan 100 juta won (RM350 ribu) untuk menyokong pelajar berpendapatan rendah.

Dalam kesibukan, J-Hope tetap sempat mengambil masa untuk membuat sumbangan yang bermakna untuk membantu pelajar yang menghadapi kesukaran.

BTS yang kini sedang sibuk dengan konsert jelajah siri "Love Yourself: Speak Yourself" mereka di seluruh dunia bakal beraksi di Stadium Metlife di New Jersey pada 18 dan 19 Mei.