Tutup

'My Buskers' julang budaya seni muzik jalanan

'My Buskers' julang budaya seni muzik jalanan
Antara selebriti yang terlibat termasuklah Lan Solo, Azharina, Black, Hujan, Datuk Awie, Ameng, Drama Band, Ruffedge, One Nation Emcees dan Datuk Hattan.
ASTRO Prima kembali dengan program “My Buskers” yang bakal mengangkat seni muzik jalanan ke peringkat yang lebih tinggi.

Lebih menarik, program hiburan tersebut menampilkan barisan penyanyi popular tanah air yang akan membuat kemunculan istimewa dengan mengiringi persembahan kumpulan pemuzik jalanan di lokasi-lokasi terpilih di ibu negara.
Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, budaya muzik jalanan atau busking bukanlah sesuatu yang asing di negara ini, malah semakin diterima baik dalam kalangan masyarakat.

“Barisan selebriti popular tanah air akan membuat persembahan buskers di sekitar ibu negara.
“Ada beberapa spot (lokasi tumpuan) di sekitar ibu negara yang popular dengan busking dan kita bawakan selebriti tersebut bergabung dengan buskers sedia ada untuk membuat persembahan,” katanya pada Selasa.

Tidak hanya hiburan semata-mata, Norzeha berkata menerusi program tersebut, pihaknya akan turut mengumpul dana bagi disalurkan kepada artis tempatan yang memerlukan.

Ia juga sebagai usaha berterusan Astro untuk menyokong inisiatif yang digerakkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dalam usaha menjaga kebajikan penggiat seni tanah air.

Pemilihan barisan penyanyi termasuk kumpulan buskers adalah dibuat berdasarkan bakat dan populariti masing-masing yang menepati konsep serta sasaran penonton.

Antara barisan selebriti yang akan terlibat termasuk Lan Solo, Azharina, Black, Hujan, Datuk Awie, Ameng, Drama Band, Ruffedge, One Nation Emcees dan Datuk Hattan.

Program 11 episod itu bakal bersiaran selama satu jam bermula 12 Disember ini pada pukul 9 malam dan boleh ditonton di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).