Pengacara popular, Nabil Ahmad tidak keberatan untuk menjadi mentor peserta program Ceria Megastar Ministar, El.

Nabil nyata kagum dengan bakat yang dimiliki El atau nama penuhnya, El Farabi Faeez Muhammad Faeez dan satu kerugian jika bakat anak kecil itu tidak digilap dengan baik.

Mempunyai rupa paras yang hampir sama, Nabil melihat El seakan-akan melihat dirinya ketika kecil.

“Sama-sama ‘cute’. Persamaan paling ketara adalah telinga kami, dan satu lagi adalah perangai kami.

“Mungkin masa mengandung, ibunya banyak melihat saya di televisyen. Kadang-kadang saya tengok perangai dia seperti saya. Banyak juga persamaan saya dengan El.

“Kami ialah Nabil-El,” guraunya ketika ditemui Astro AWANI di rakaman program Ceria Megastar Ministar pada Ahad.



Ceria Megastar Ministar merupakan rancangan realiti pertandingan nyanyian kanak-kanak yang bersiaran mulai 14 Jun lalu di saluran Astro Ceria 611, Prima 105, Prima HD 121 dan Astro Go pada setiap Jumaat jam 9 malam.

Rancangan itu di dihoskan oleh Nabil bersama dua juri tetap iaitu Datuk Aznil Nawawi dan Zizan Razak.

Tambah pelawak tersebut, beliau banyak belajar daripada Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil dan ingin menurunkan ilmunya kepada peserta yang terlibat.

“Jangan hilangkan bakat yang ada, jangan tidak gosok.

“Biarpun sudah menggilap bakatnya, jangan lupa tentang pendidikan, jangan berhenti belajar.

“Kita tidak tahu apa yang akan terjadi dalam pertandingan ini. Jika kalah, ia bukannya satu pengakhiran. Pentingkan pendidikan, bila ada bakat dan pendidikan, anda akan jadi hebat,” tambahnya.

Sementara itu, El mula berjinak dalam bidang nyanyian sejak berusia empat tahun sambil memberitahu ‘Abang Nabil’ ialah idolanya.

“Abang Nabil ialah idola saya.

‘Saya juga mengidolakan Hael Husaini dan Haqiem Rusli, saya serba boleh dan boleh nyanyi apa-apa lagu sahaja,” kata El.